CYBERJAYA, 19 Ogos 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar” yang mendakwa secara palsu sebagai pakar patologi yang terlibat dalam bedah siasat Allahyarhamah Zara Qairina.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa suspek bukan pakar patologi.
Individu tersebut dikesan di kawasan Kota Damansara lewat malam semalam, hasil daripada maklumat yang diperoleh daripada keterangan dua individu yang menyertai sesi TikTok Live akaun berkenaan. Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan, dan peralatan komunikasinya dirampas untuk siasatan lanjut.
MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, terutamanya berkaitan isu sensitif seperti kematian, tragedi, atau mangsa kemalangan, adalah kesalahan serius. Tindakan sedemikian boleh menyakiti hati keluarga yang terlibat, mengelirukan masyarakat, dan mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 588, pesalah boleh didenda maksimum RM500,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Polis Diraja Malaysia juga menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
MCMC menggesa orang ramai supaya mengesahkan maklumat sebelum berkongsi dan melaporkan sebarang kandungan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.