Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Belanjawan MADANI Keempat 2026 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang memperlihatkan komitmen jelas Kerajaan terhadap pembangunan generasi muda dan agenda pemerkasaan belia negara.

MBM mengalu-alukan peruntukan RM250 juta bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2026 sebagai usaha membina jati diri, semangat kenegaraan dan budaya kesukarelawanan dalam kalangan anak muda.
MBM turut menyambut baik inisiatif Program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta yang menyasarkan latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi.
MBM juga menghargai peningkatan besar peruntukan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi teras utama pembangunan tenaga muda negara. Peningkatan ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan untuk melahirkan tenaga belia berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan pasaran kerja baharu serta mendukung agenda transformasi ekonomi nasional.
Selain itu, MBM menyokong penuh peningkatan peruntukan RM40 juta kepada Program Rakan Muda, peningkatan sebanyak RM15 juta berbanding RM25 juta pada tahun sebelumnya. MBM berharap sebahagian besar daripada peruntukan ini dapat disalurkan terus kepada pertubuhan belia di seluruh negara sebagai wahana membentuk jati diri, integriti dan daya juang anak muda, khususnya di luar bandar dan komuniti tercicir.
Namun begitu, MBM berbeza pandangan dalam dua perkara utama, iaitu penetapan had umur belia baharu dan inisiatif anak muda dalam bidang keusahawanan.
MBM bertegas untuk memilih kedudukan bertentangan dalam isu had umur belia, serta menggesa Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan segala inisiatif pembangunan belia sedia ada tidak terjejas serta terus inklusif kepada kelompok belia muda dewasa (emerging adults).
Sehubungan itu, MBM merayu agar inisiatif pembiayaan RM150 juta di bawah BSN dan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp turut diluaskan kepada kelompok rakyat Malaysia berumur 31 hingga 40 tahun, yang masih aktif dan produktif dalam kegiatan sosial serta ekonomi negara.
MBM kekal komited untuk terus berdialog dan bekerjasama dengan Kerajaan dalam menjayakan usaha memacu ekonomi nasional serta memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif, progresif dan berdaya saing.