Bagi kebanyakan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri adalah saat yang dinanti-nantikan selepas sebulan berpuasa. Ia sinonim dengan kunjungan keluarga, juadah istimewa dan suasana kegembiraan. Namun bagi anak-anak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, makna Hari Raya sering difahami melalui pengalaman yang lebih sederhana tetapi sangat bermakna iaitu melalui aktiviti harian, kebersamaan keluarga dan detik-detik kegembiraan kecil.
Perkara ini dapat dilihat melalui satu sesi perbincangan kumpulan fokus dan Majlis IFTAR yang dianjurkan oleh Akademi Permata Impian (APIM) baru-baru ini di La Pelangi Club House, Semenyih yang dihadiri lebih 20 OKU pembelajaran bersama ahli keluarga mereka. Melalui perbincangan tersebut, mereka berkongsi pengalaman dan pemahaman tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan apa yang mereka alami bersama keluarga.
Walaupun mempunyai cabaran dalam aspek pembelajaran, sebahagian peserta menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan asas tentang Hari Raya. Ada yang dapat menyatakan bahawa Hari Raya disambut pada 1 Syawal, manakala ada juga yang menyebut solat sunat Hari Raya sebagai antara aktiviti penting pada hari tersebut.
Perkongsian ini menunjukkan bahawa pemahaman mereka tentang perayaan keagamaan banyak terbentuk melalui pengalaman yang dilihat dan dilakukan bersama ahli keluarga. Pendedahan yang konsisten daripada ibu bapa serta persekitaran masyarakat membantu mereka mengenali makna asas perayaan tersebut. Walaupun penerangan agama mungkin tidak difahami secara mendalam, pengalaman menyertai aktiviti seperti solat Hari Raya atau persiapan menyambut tetamu membantu mereka membina kefahaman tentang kepentingan hari yang istimewa ini.
Rendang dan juadah raya yang dinanti
Selain aspek ibadah, perkara yang paling kerap disebut oleh anak-anak ini ialah makanan Hari Raya. Antara perkataan yang sering muncul dalam perbincangan ialah “makan” dan “rendang”, yang menggambarkan bahawa juadah tradisional memainkan peranan besar dalam pengalaman perayaan mereka.
Bagi individu OKU, terutama yang mempunyai keperluan pembelajaran khas, pengalaman yang melibatkan deria seperti rasa, bau dan suasana rumah yang meriah lebih mudah difahami dan diingati. Tidak hairanlah makanan tradisional seperti rendang, lemang dan kuih-muih menjadi antara kenangan utama mereka apabila menyebut tentang Hari Raya. Suasana makan bersama keluarga juga menjadi detik penting yang mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, sekali gus menjadikan pengalaman perayaan lebih bermakna.

Tidak lengkap sambutan Hari Raya tanpa tradisi pemberian duit raya. Bagi anak-anak OKU pembelajaran, menerima duit raya merupakan antara perkara yang paling menggembirakan semasa perayaan tersebut.
“Duit raya yang paling gembira,” kata seorang peserta ringkas. Bagi mereka, duit raya bukan sekadar wang, tetapi simbol perhatian, kasih sayang dan penghargaan daripada orang dewasa. Detik menerima sampul duit raya sering disertai dengan senyuman, keterujaan dan rasa dihargai. Pengalaman ini juga menunjukkan bahawa perkara yang kelihatan kecil bagi orang dewasa sebenarnya memberi kesan emosi yang mendalam kepada anak-anak OKU.
Kenangan bersama keluarga
Selain makanan dan duit raya, interaksi bersama keluarga turut menjadi antara kenangan penting semasa Hari Raya. Beberapa peserta menyatakan bahawa ”ambil gambar dengan family” ketika sambutan perayaan antara aktiviti yang disukai.
Aktiviti ini mungkin kelihatan biasa, namun ia sebenarnya mencerminkan kepentingan kebersamaan dalam keluarga. Bagi anak-anak ini, masa yang diluangkan bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara menjadi pengalaman yang sangat bermakna. Gambar keluarga yang diambil pada pagi Hari Raya bukan sekadar dokumentasi kenangan, tetapi juga simbol dan pancaran makna kebahagiaan dan keakraban yang dirasai oleh mereka.
Dapat juga dilihat bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi anak-anak OKU pembelajaran ini berkait rapat dengan tiga elemen utama iaitu ibadah, interaksi keluarga dan kegembiraan. Ibadah seperti solat Hari Raya memberikan pengenalan kepada aspek keagamaan. Interaksi keluarga pula membina rasa kebersamaan dan kasih sayang. Manakala pengalaman kegembiraan hadir melalui aktiviti seperti menikmati juadah tradisional dan menerima duit raya. Gabungan ketiga-tiga elemen ini menjadikan Hari Raya satu pengalaman yang sangat bermakna dan sentiasa dinantikan bagi mereka walaupun pemahaman mereka mungkin tidak kompleks.
Perayaan yang inklusif untuk semua
Dapatan ini memberi peringatan kepada masyarakat bahawa sambutan perayaan seharusnya bersifat inklusif dan memberi ruang kepada semua golongan untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri, termasuk individu OKU.
Sokongan keluarga, guru dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak ini dapat menyertai aktiviti perayaan dengan selesa dan bermakna. Natijahnya, makna sebenar Hari Raya bukan hanya terletak pada kemeriahan atau persiapan yang besar, tetapi pada nilai kebersamaan, kasih sayang dan kegembiraan yang dikongsi bersama. Bagi anak-anak OKU pembelajaran di Semenyih, Hari Raya mungkin difahami melalui perkara-perkara yang sederhana tetapi di situlah sebenarnya terletak penterjemahan nilai keindahan dan keikhlasan sambutan Aidilfitri tulus dari jiwa mereka.
