PUTRAJAYA, 15 Januari 2026* – Kerajaan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial untuk bekerja dan berniaga secara haram di Malaysia, susulan aduan daripada peniaga tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa isu ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

Beliau yang membangkitkan perkara tersebut berikutan aduan daripada peniaga-peniaga tempatan, berkata kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk memperkukuh pemantauan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan segera.
“Saya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera. Langkah ini penting bagi melindungi PMKS dan peniaga kecil tempatan serta memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing,” kata Steven Sim.
Beliau menegaskan Malaysia mengalu-alukan pelancong dan pelabur, tetapi undang-undang serta peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian.
Kenyataan itu diakhiri dengan seruan “Hebatkan Perniagaan Malaysia!”.
