Lebih 1,000 Belia Gegarkan KASURA, Semarakkan Hari Malaysia

56

Tanjung Karang, 16 Sept 2025 – Sorakan belia, derapan kaki di padang dan strategi e-sukan mewarnai Kampung Seri Tiram Jaya apabila lebih 1,000 anak muda berkumpul menjayakan Kejohanan Sukan Rakyat (KASURA) edisi ke-10. Sempena Hari Malaysia, pesta sukan yang berlangsung dari 12-14 September ini bukan sekadar pertandingan, tetapi menjadi lambang kekuatan komuniti desa dan semangat kebangsaan yang hidup subur di jiwa generasi muda.

Peserta belia berusia 16 tahun ke atas daripada 15 kampung sekitar Tanjung Karang menyertai kejohanan berimpak tinggi ini menampilkan 12 acara menarik termasuk E-Sport Mobile Legend, sepak takraw, bola sepak, futsal, bola tampar, bola jaring dan petanque. Pemenang setiap acara tidak pulang tangan kosong, sebaliknya membawa pulang hadiah wang tunai.

KASURA yang bermula pada tahun 2009 kini berkembang sebagai wadah penting penyatuan masyarakat desa. Dari awalnya tujuh acara, kini mencecah 12, membuktikan minat belia semakin luas. Lebih daripada sekadar medan persaingan, KASURA menjadi simbol perpaduan, kerjasama dan cinta tanah air, selari dengan aspirasi Hari Malaysia.

Penyelaras DUN Permatang merangkap penganjur, Mohd Yahya Mat Sahri berkata kejohanan ini merupakan platform menggilap kepimpinan  dan berperanan melahirkan lebih daripada sekadar jaguh kampung. 

Foto 11 Penyelaras DUN Permatang merangkap penganjur, Mohd Yahya Mat Sahri.

“Hari Malaysia melambangkan penyatuan dan kekuatan rakyat. Dengan acara tahun ini, kami berhasrat mendekati serta memperkasa belia kampung melalui sukan. Mereka bukan sahaja bertanding, tetapi turut dilatih merancang, mengurus dan memimpin pasukan. Inilah cara kita lahirkan pemimpin kampung berkualiti dan jaguh sukan yang boleh mengharumkan nama Malaysia,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Ya. 

Antara yang mencuri perhatian ialah pertandingan Mobile Legend yang melibatkan 60 peserta. Tarikan ini menunjukkan bagaimana sukan moden mampu bergerak seiring dengan tradisi, sekaligus menjadikan program ini lebih dekat dengan minat generasi muda masa kini.

Sejak pertama kali dianjurkan di Kampung Seri Tiram Jaya, KASURA kini menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu. Format tuan rumah bergilir memberi warna pada penganjuran, dengan jejak perjalanan dari Kampung Sungai Gulang-Gulang (2010), Kampung Bukit Belimbing (2011), hingga Kampung Bestari Jaya/UNISEL (2024), sebelum kembali semula ke Seri Tiram Jaya tahun ini.

Namun, cabaran tetap ada. Kekurangan fasiliti asas seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, dan gelanggang untuk pelbagai sukan masih menjadi isu. Bagi mengatasi perkara ini, Yahya melalui Pusat Khidmat Penyelaras DUN Permatang telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kejohanan ini terus berkembang.

“Kami ingin menghantar mesej jelas bahawa sukan adalah jambatan perpaduan. KASURA membuktikan belia kampung boleh bersaing dan menyumbang kepada negara. Dengan sokongan kerajaan negeri untuk kemudahan asas, saya yakin lebih banyak acara sukan komuniti boleh diadakan semasa sambutan Merdeka dan Hari Malaysia pada masa depan,” tambah beliau.

Kejohanan yang bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia ini sekaligus memperlihatkan peranan sukan rakyat sebagai wadah menyatukan komuniti desa, selain menjadi platform awal pembangunan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp