Oleh Nor Haslawati Mohd Mokhlas dan Hasmahzaiti Omar
Bagi kebanyakan kanak-kanak, lawatan ke zoo mungkin dianggap sebagai aktiviti riadah biasa. Namun bagi kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah seperti ini membawa makna yang jauh lebih besar.
Pembelajaran di luar kelas terbukti sebagai satu pendekatan yang berkesan dalam menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak OKU kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk belajar melalui pengalaman sebenar yang lebih bermakna, menyeronokkan dan berkesan.


Salah satu contoh pelaksanaan pembelajaran di luar kelas ialah lawatan pendidikan ke zoo yang menggabungkan elemen terapi minda, pengenalan dunia haiwan serta pembangunan emosi dan sosial kanak-kanak. Program seumpama ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu, malah memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk melihat dan memahami dunia luar yang sering terhad kepada persekitaran bilik darjah.
Pada 24 Disember 2025, Universiti Malaya melalui usaha sama Pusat Kaunseling dan Pemerkasaan OKU (CDE), Kelab Zoologi serta seorang pensyarah daripada Program Ekologi dan Biodiversiti telah menganjurkan buat pertama kalinya Program Lawatan Pendidikan ke Zoo Negara bagi anak-anak berkeperluan khas. Sepanjang program ini, kanak-kanak OKU diberikan bimbingan secara individu, penglibatan dalam aktiviti berstruktur serta sokongan emosi yang disesuaikan dengan keperluan masing-masing.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan pendidikan yang bermakna, malah mengeratkan hubungan antara kanak-kanak dan para pendidik dalam suasana pembelajaran yang lebih santai, inklusif dan menyokong. Kejayaan penganjuran program ini secara tidak langsung menjadi contoh dan galakan kepada sekolah-sekolah pendidikan khas serta institusi lain yang melibatkan pelajar OKU untuk merancang dan melaksanakan lawatan pendidikan seumpama ini. Pendekatan pembelajaran di luar kelas yang inklusif dan terancang ini membuktikan bahawa aktiviti lawatan bukan sekadar sesuai, malah mampu memberi impak positif yang besar terhadap perkembangan dan kesejahteraan pelajar OKU.
Lawatan ke Zoo Negara ini memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk mengenali pelbagai jenis haiwan secara langsung. Mereka bukan sekadar melihat haiwan melalui gambar atau video, tetapi dapat memerhati pergerakan, mendengar bunyi serta melihat tingkah laku haiwan sebenar. Rangsangan deria ini membantu meningkatkan fokus, kefahaman dan keupayaan kognitif kanak-kanak. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak OKU yang sebelum ini pasif dan kurang berkomunikasi menunjukkan minat yang ketara apabila melihat tapir dan zirafah, malah berani bertanya soalan serta menyebut nama haiwan dengan bimbingan guru.
Selain perkembangan kognitif, aktiviti luar kelas ini turut menyumbang kepada perkembangan psikomotor kanak-kanak OKU. Pergerakan seperti berjalan dari satu kawasan ke kawasan lain, menunjuk haiwan, memegang peta lawatan dan memberi makanan kepada haiwan membantu meningkatkan koordinasi motor kasar dan motor halus. Aktiviti fizikal yang dirancang ini bukan sahaja menguatkan otot dan keseimbangan badan, malah membantu kanak-kanak mengawal pergerakan mereka dengan lebih baik melalui pengalaman sebenar.
Lawatan ini juga berfungsi sebagai satu bentuk terapi minda. Suasana semula jadi yang hijau serta interaksi dengan haiwan didapati mampu mengurangkan tekanan, kebimbangan dan tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak OKU. Kanak-kanak kelihatan lebih ceria, tenang dan bersemangat apabila berada di luar persekitaran kelas. Aktiviti seperti mendengar penerangan penjaga zoo dan memberi makan haiwan turut membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran sosial mereka.
Selain aspek pendidikan dan terapi, lawatan ini turut memberikan pendedahan awal yang bermakna kepada kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan biodiversiti. Kanak-kanak diperkenalkan kepada haiwan terancam serta spesies ikonik dan tempatan seperti harimau Malaya, tapir Malaya dan siamang melalui pemerhatian langsung dan penerangan ringkas bergambar. Mereka juga dibimbing untuk memahami kepentingan menjaga habitat semula jadi, mematuhi peraturan zoo dan peranan manusia dalam melindungi haiwan serta mengekalkan keseimbangan ekosistem. Pendedahan berasaskan pengalaman ini membantu memupuk kesedaran, empati dan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam secara berperingkat, selaras dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak OKU.
Program pembelajaran di luar kelas ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti dan SDG 10 bagi Mengurangkan Ketidaksamaan melalui penyediaan peluang pembelajaran yang inklusif kepada kanak-kanak OKU. Selain itu, pendedahan kepada pemuliharaan biodiversiti menyumbang kepada SDG 15: Kehidupan di Darat, manakala kerjasama antara universiti, keluarga dan komuniti mencerminkan semangat SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.
Kejayaan program ini turut bergantung kepada peranan guru, fasilitator dan sukarelawan yang bertindak sebagai pembimbing, pengiring dan penyokong kepada kanak-kanak OKU. Pendekatan yang mesra, sabar dan penyayang membantu kanak-kanak berasa selamat serta dihargai sepanjang lawatan. Pada masa yang sama, pengalaman ini turut meningkatkan kesabaran, kefahaman dan kepekaan pendidik terhadap tingkah laku serta keperluan unik kanak-kanak OKU. Ia menyedarkan semua pihak bahawa setiap kanak-kanak OKU mempunyai hak yang sama untuk meneroka dan memahami dunia luar melalui pendidikan yang inklusif dan bermakna.
Penglibatan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihak penganjur bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan kanak-kanak, malah mengeratkan kerjasama antara ibu bapa dan pendidik dalam proses pendidikan anak-anak.
Sebagai kesinambungan pembelajaran, aktiviti susulan seperti melukis dan mewarna gambar haiwan, sesi bercerita semula pengalaman lawatan, pembuatan buku skrap atau aktiviti terapi seni di rumah dan di bilik darjah boleh dilaksanakan. Aktiviti ini membantu mengukuhkan ingatan, pemahaman serta perkembangan psikomotor dan kreativiti kanak-kanak OKU.
Sehubungan itu, pembelajaran di luar kelas melalui lawatan pendidikan ke Zoo Negara jelas merupakan satu pendekatan holistik yang sesuai untuk kanak-kanak OKU. Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan, malah menyokong perkembangan kognitif, psikomotor, emosi dan sosial mereka. Seperti peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, usaha kecil seperti ini membuktikan bahawa pendidikan inklusif bukan sekadar slogan, tetapi boleh direalisasikan melalui komitmen dan empati bersama. Oleh itu, usaha sebegini wajar diperluaskan agar kanak-kanak OKU terus diberikan peluang pembelajaran yang inklusif, seimbang dan berterusan sebagai sebahagian daripada masyarakat yang adil dan prihatin.
Nor Haslawati Mohd Mokhlas ialah Pengurus di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) P.I.N.T.A.R, Universiti Malaya manakala Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah di Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.
