KUSKOP ADAKAN SESI LIBAT URUS BERSAMA KERAJAANSARAWAK MENGENAI CADANGAN AKTA KOPERASI BAHARU

KUCHING, 31 Julai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan sesi libat urus cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), peringkat Negeri Sarawak.

Sesi libat urus itu dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan dihadiri beberapa Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan pegawai-pegawai Kerajaan Sarawak.

“Saya hargai maklum balas, pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan sepanjang sesi libat urus ini.

“Saya berharap dapat membentangkan bacaan pertama RUU ini pada sesi parlimen hujung tahun ini, dan seterusnya bacaan kedua dan ketiga pada sesi awal tahun depan sebelum diwarta dan dikuatkuasakan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan sesi libat urus pada ini,” katanya selepas mempengerusikan sesi libat urus itu, di sini, semalam.

Ewon berkata, penggubalan RUU baharu ini bertujuan memperkasa gerakan koperasi melalui liberalisasi aspek perundangan dan memperkukuh peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia utama.

“Kajian yang dilaksanakan pada 2023 mendapati wujud kekangan undang-undang yang menyukarkan koperasi menjalankan aktiviti perniagaan secara langsung dalam pelbagai sektor.

“Saya berharap penggubalan RUU ini akan memperkukuh ekosistem koperasi, memudahkan urusan perniagaan serta meningkatkan tadbir urus ke arah pembangunan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Unit Komunikasi Korpora Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Setakat ini KUSKOP telah melaksanakan sebanyak 14 sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk dengan gerakan koperasi negara.

Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Haji Azam Sulaiman.

Turut serta dalam sesi libat urus itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp