PUTRAJAYA, 24 Februari 2026* – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri beliau merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, telah menyerikan majlis iftar bersempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri (MDN) Tahun 2026 di Kompleks Setia Perkasa, di sini, semalam.
Majlis anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berfungsi sebagai platform memperkukuh ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan warga kementerian serta agensi-agensi di bawahnya. Ia juga bertujuan menyemai serta menghayati nilai-nilai murni seperti integriti, amanah dan ihsan selaras dengan keberkatan bulan Ramadan.
Majlis menjadi lebih bermakna apabila MDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyantuni warga KDN dari meja ke meja sambil menyampaikan sumbangan kepada mereka. Inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan beliau terhadap kebajikan dan kesejahteraan kakitangan kementerian.
Seusai berbuka puasa, KPN bersama MDN dan Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah yang turut disertai para tetamu jemputan.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato’ Hussein Omar Khan; barisan Timbalan Ketua Setiausaha KDN; barisan Timbalan Pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim.
