PUTRAJAYA 30 januari 2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan inisiatif besar-besaran pengambilan 20,000 guru baharu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan pendidik di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menekankan bahawa langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat generasi muda Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, inisiatif ini merupakan persediaan awal menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, yang baru dilancarkan baru-baru ini. Ia juga bertujuan menyokong dasar kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun depan, sekali gus memastikan kadar pengisian jawatan guru kekal optimum di semua sekolah.
Calon terpilih akan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi memastikan kompetensi dan kualiti pengajaran terpelihara.
Jadual pengambilan guru baharu:
– Hebahan rasmi : 23 Februari 2026
– Tempoh permohonan : 2 Mac hingga 20 Mac 2026
– Proses saringan dan temuduga : 27 April hingga 14 Mei 2026
Proses ini dijalankan dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Semua calon yang memenuhi syarat kelayakan dijemput untuk memohon peluang ini. Ini adalah peluang emas buat graduan, terutamanya dalam bidang pengkhususan yang diperlukan, untuk menyumbang kepada sistem pendidikan negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, bidang pengkhususan, dan cara memohon, pantau laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia atau portal berkaitan.
