KONSERT LEGASI P. RAMLEE DITUNDA KE 2026 Langkah Strategik ke Arah Pementasan Berskala Nasional 

20

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2025 — TanahAir Films Sdn. Bhd. dengan penuh iltizam dan aspirasi baharu mengumumkan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee, salah sebuah acara dalam inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, akan melalui satu transformasi besar. Disokong oleh penglibatan pelbagai kementerian serta sektor korporat, acara ini akan berkembang daripada sebuah persembahan satu malam kepada sebuah festival seni dan budaya bertaraf nasional. 

Festival yang dijadualkan pada tahun 2026 ini akan tampil dengan format baharu yang lebih meriah, inklusif dan berimpak tinggi, diperkukuh oleh sokongan rakan penaja strategik yang melihatnya sebagai platform warisan negara dengan potensi besar untuk menyatukan seni, budaya dan industri kreatif. 

“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sebagai sekadar persembahan satu malam, tetapi sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan. Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka dan sokongan industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh dan ruang kepada penglibatan masyarakat dan rakan korporat,” kata Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films. 

Beliau menambah bahawa pendekatan festival membuka peluang lebih strategik untuk penyertaan jenama dan penaja, termasuk pengaktifan kreatif, penyertaan sosial dan penyebaran mesej nasional yang bersifat menyeluruh. 

“Dari pentas konsert ke medan seni budaya, festival ini memberi ruang kepada kami untuk membawa semula roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi. Saya melihat peluang ini untuk memperluaskan maksud legasi itu sendiri. Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa dan pemikir zaman yang berani menyentuh isu, nilai dan rasa. Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” ujar Adlin Aman Ramlie, Pengarah Kreatif Festival dan salah seorang peneraju Projek Perdana P. Ramlee. 

TanahAir Films merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja dan rakan media yang telah setia menyokong inisiatif Projek Perdana P. Ramlee sejak awal. Penangguhan ini dilihat sebagai langkah berani untuk memastikan festival yang bakal diadakan kelak menjadi acara seni dan budaya berskala nasional yang benar-benar memberi impak. TanahAir Films memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan berharap sokongan padu ini akan terus mengiringi perjalanan mereka dalam merealisasikan sebuah projek yang akan dikenang sepanjang zaman. 

Pihak Ticket2U akan menghubungi pembeli tiket sedia ada dalam tempoh tiga minggu untuk menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik. Maklumat lanjut akan dikemas kini di laman rasmi dan media sosial. 

Ikuti sorotan terkini dan kandungan eksklusif di media sosial rasmi @konsertlegasipramlee di Facebook, Instagram & TikTok.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp