JAKARTA, Indonesia, 25 Julai 2025 /PRNewswire/ — Kerry, peneraju global bagi citarasa dan pemakanan, secara rasmi membuka pejabat yang diperbesar dan kemudahan Penyelidikan, Pembangunan & Aplikasi (RD&A) di RDTX Place, Kuningan, Jakarta Selatan, bagi memperkukuh komitmennya untuk memupuk penciptaan bersama dengan pelanggan tempatan dan mempercepat inovasi makanan mampan di seluruh Indonesia serta pasaran-pasaran utama di Asia Tenggara.

Ruang berkeluasan 1,200 meter persegi ini mempunyai dua makmal penciptaan dan aplikasi perisa khusus untuk aplikasi manis dan savouri, suite sensori serba lengkap dan sebuah Makmal Ciptaan Bersama kolaboratif untuk pelanggan bekerja bersama-sama saintis, ahli kimia perisa dan pakar aplikasi Kerry.
“Kemudahan ini merupakan langkah yang besar ke hadapan dalam perjalanan kami sebagai rakan kongsi inovasi yang dipercayai di Indonesia,” kata Janeley Haryono, Pengurus Besar, Kerry Indonesia. “Dengan pelanggan yang berkolaborasi secara langsung dengan kami, kami mengupayakan inovasi yang lebih pantas dan menyampaikan penyelesaian yang bukan sahaja lebih sihat tetapi berakar umbi dengan keutamaan dan ramuan tempatan. Pelaburan kami selaras dengan inisiatif ‘Making Indonesia 4.0’ kerajaan Indonesia yang menekankan kepentingan sektor makanan dan minuman (F&B) dalam memacu negara ini ke arah menjadi salah satu daripada 10 ekonomi teratas dunia menjelang tahun 20301.”
Siddharth Rastogi, Ketua Peruncitan, Daging dan Pemasaran, Kerry Southeast Asia, mengulas: “Lokasi pusat Indonesia mengupayakan jarak yang lebih dekat dengan pasaran utama kami – lalu membolehkan kami berada lebih dekat dengan pelanggan serantau kami untuk membangunkan penyelesaian secara bersama yang tangkas dan relevan dengan dinamik pasaran yang berubah dengan pantas. Kami teruja menjadi hab kecemerlangan inovasi makanan untuk industri ini yang membantu membentuk masa depan makanan dan minuman di rantau ini.”
Sektor makanan dan minuman Indonesia terus menjadi pemacu utama ekonomi negara, menyumbang 7.15% kepada KDNK pada separuh pertama 2024 dan diunjurkan berkembang sebanyak 4.53% menjelang akhir tahun. Biarpun dengan kenaikan kos dan perubahan kawal selia, industri ini tetap stabil, didorong oleh penggunaan domestik yang semakin meningkat dan keutamaan pengguna yang berubah-ubah. Dengan populasi yang dijangka melebihi 281 juta menjelang tahun 2025, permintaan Indonesia terhadap penyelesaian makanan yang inovatif, berkhasiat dan relevan di dalam negara kekal utuh2.
Kehadiran Kerry yang kian berkembang di Indonesia termasuklah kilang pembuatan di Cikarang dan Karawang. Dibuka pada tahun 2023, kemudahan Karawang yang bernilai €30 juta ini merupakan pelaburan lapangan hijau terbesar oleh Kerry di Asia Tenggara yang menyokong pelanggan makanan dan minuman dalam kesemua kategori makanan, termasuk minuman, kudapan dan reroti yang merupakan antara pasaran kegunaan akhir syarikat ini yang berkembang paling pantas.
Kemudahan Jakarta Selatan baharu ini turut menggambarkan komitmen Kerry terhadap tanggungjawab alam sekitar. Tapak ini, yang kini di bawah semakan pensijilan LEED Gold, merangkum sistem tenaga pintar, pencahayaan responsif cahaya siang hari, penggunaan bahan cekap tenaga dan mampan, dengan pengurusan sisa binaan dilaksanakan sepanjang fasa binaan.
Seperti yang diucapkan oleh Duta Besar Ireland ke Indonesia, T.Y.T. Pádraig Francis yang hadir di upacara pembukaan ini, “Pembukaan makmal RD&A baharu Kerry menyaksikan suatu pencapaian penting dalam keterlibatan ekonomi Ireland bersama Indonesia. Ia mencerminkan visi inovasi, kolaborasi dan kelestarian yang dikongsi bersama. Kehadiran Kerry yang semakin berkembang menyokong aspirasi Indonesia dalam pembangunan kesihatan, pemakanan dan industri serta menjadi sebahagian daripada legasi kebanggaan syarikat-syarikat Ireland yang menyumbang kepada kemajuan jangka panjang yang inklusif di rantau ini.”