Kuala Lumpur, 22 Disember 2025* – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa kerajaan telah berjaya menjimatkan sebanyak RM800 juta sejak pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula pada 30 September lalu.
Dalam satu hantaran di media sosial, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan bahawa penjimatan ini dicapai melalui penyasaran subsidi bahan api yang lebih tepat, memastikan subsidi hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja.
“Sejak lebih 20 tahun lalu, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh setiap kerajaan yang memerintah, namun tiada yang punyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya,” kata Anwar.

Beliau menambah, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah berani dengan memperkenalkan BUDI95 untuk menghentikan kebocoran subsidi yang sebelum ini dinikmati oleh lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan bahan api ke luar negara yang melibatkan puluhan ribu liter.
“Hasil keberanian ini menyaksikan kita menjimatkan RM800 juta setakat ini, dan setiap daripadanya dipulangkan kembali kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara,” jelas beliau.
Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu yang sah layak membeli sehingga 300 liter petrol RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter sebulan, berbanding harga pasaran RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal sambil memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping menyokong kelestarian kewangan negara.
Anwar menutup hantaran beliau dengan ucapan “Alhamdulillah”, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan awal program tersebut.
Pelaksanaan BUDI95 ini merupakan sebahagian daripada usaha rasionalisasi subsidi kerajaan MADANI, yang dijangka menjana penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion, bergantung kepada harga minyak global.
