Kota Kinabalu, 2 Januari 2026 – Majlis Belia Sabah (MBS) telah mengumumkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025–2027 selepas pilihan raya yang diadakan semasa Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-28 pada 30 Disember 2025.
Proses pemilihan ini berlangsung secara sah dan demokratik, mencerminkan komitmen MBS terhadap amalan demokrasi belia, ketelusan organisasi, serta integriti dalam menentukan hala tuju kepimpinan belia negeri Sabah.

Tahniah disampaikan kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, serta seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja yang baharu dipilih. Amanah ini merupakan tanggungjawab besar untuk memperkasa suara belia, memacu pembangunan belia yang inklusif, dan memperkukuh peranan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri serta negara.
Dalam pada itu, penghargaan tinggi turut dizahirkan kepada barisan kepimpinan sesi terdahulu atas jasa, sumbangan, komitmen, dan pengorbanan mereka dalam memimpin serta memperkasa gerakan belia Sabah. Legasi yang ditinggalkan menjadi asas penting bagi kesinambungan organisasi.
Diharapkan kepimpinan baharu ini akan membawa nafas segar, idea progresif, dan kepimpinan berwibawa agar MBS terus relevan, dinamik, serta menjadi wadah penyatuan belia pelbagai latar belakang di Sabah.
“Belia Bersatu, Sabah Maju Jaya.”
MBS, yang ditubuhkan pada 1994, merupakan badan payung bagi pelbagai pertubuhan belia di Sabah dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan generasi muda negeri ini.
