Integriti Jadi Teras Kepimpinan Nasional, kata Menteri Dalam Negeri di Forum MADANI*

13

KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyampaikan pandangan bernas sebagai panelis dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-8 yang berlangsung malam tadi, di bawah pengerusian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Foto Kredit : FB rasmi Menteri Dalam Negeri

Mengusung tema “Integriti dan Kepimpinan Nasional – Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik,” forum tersebut mengetengahkan perbincangan mendalam tentang pentingnya integriti dalam kepimpinan. Dalam ucapannya, Saifuddin menegaskan bahawa integriti pemimpin memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Integriti bukan sekadar imej atau slogan, tetapi asas yang membentuk budaya kerja, cara keputusan dibuat, dan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan secara adil dan telus,” ujar beliau.

Beliau turut mengaitkan peranan integriti dengan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal selia agensi-agensi kritikal seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Menurutnya, kehilangan integriti bukan sahaja mencalarkan reputasi, tetapi juga boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi tersebut.

“Integriti mesti menjadi teras, bukan sekadar pilihan,” tegas Saifuddin, sambil menyeru agar budaya integriti terus diperkukuh di semua peringkat kepimpinan.

Forum ini diharapkan dapat terus menjadi platform memperkukuh kesedaran dan iltizam bersama dalam menegakkan nilai integriti, demi memacu reformasi holistik dan sistemik untuk masa depan negara.

E Berita E Berita

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp