Pemintal belon tular terpilih Umrah 1000 Asnaf 1448H
KUALA LUMPUR, 2 Mac 2026 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menghadiahkan pakej Umrah kepada pemintal belon viral, ‘Abang Mr Bean’ yang mendapat perhatian ramai menerusi kisahnya yang menampung kehidupan sebagai penghibur jalanan dengan meniru aksi watak komedi terkenal itu.
Kru produksi ikhlas.com bersama pempengaruh, Edin Komeng pada mulanya merancang untuk memborong kesemua belon Mohd Nizam Mohamad Idrus, 49, yang menjualnya se‘ikhlas’ hati – agar pelanggan boleh menentukan sendiri berapa yang ingin dibayar, tiada harga tetap, hanya kepercayaan dan keikhlasan.
Setelah mendapatkan kelulusan peringkat atasan, mereka menyampaikan berita gembira itu kepada Mohd Nizam dan isterinya, Suraya Zulkifli, 49 bahawa mereka telah terpilih sebagai penerima tajaan Umrah 1000 Asnaf 1448H daripada ikhlas.com.
“Saya terharu sangat, saya tak pernah jangka di awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan daripada ikhlas.com. Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua ini, saya rasa Allah SWT dah balas dengan cara yang tak disangka-sangka. Umrah bukan kepada yang mampu, tetapi bila Allah dah seru benda ni tak mustahil akan berlaku,” kata Mohd Nizam.
Program Umrah 1,000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 sempena sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com dengan misi untuk memperkasakan komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan asnaf yang terpilih untuk merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah. Ia selaras misi ikhlas.com untuk menjadikan Umrah mampu diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Pelepasan seterusnya untuk musim umrah 1448H dijadualkan selepas musim haji akan datang.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh Syariah seperti zakat, qurban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam.
