Putrajaya, 13 Januari 2026* – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hari ini memenangi kes saman fitnah yang difailkannya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, di Mahkamah Rayuan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial selepas keputusan mahkamah, Hannah Yeoh menyatakan beliau “amat bersyukur dan gembira” dengan keputusan tersebut.

Kes ini bermula enam tahun lalu apabila Musa Hassan, dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, antaranya:
“Dan mereka ingin juga merosakkan agama Islam dalam negara ini kerana mereka mempunyai kaitan dengan Evangelist group. Mereka juga mempunyai kaitan dengan Yahudi untuk merosakkan negara ini. Dan banyak research yang telah saya buat, dimana saya dapati bahawa ada hubungan antara Evangelist group dengan Parti DAP di sini, ya, kerana mereka telah menulis buku, Hannah Yeoh juga telah menulis buku untuk menjadikan negara ini negara Kristian.”
Hannah Yeoh menyatakan bahawa sepanjang enam tahun, beliau terpaksa menghadapi pelbagai pembohongan dan fitnah yang tersebar di media sosial, yang bukan sahaja mencemarkan nama baiknya tetapi turut mengelirukan orang ramai. Beliau menekankan bahawa tuduhan tersebut dibuat oleh seorang bekas Ketua Polis Negara yang dijangka bertindak dengan cermat dan berasaskan fakta sahih.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan serta merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya yang terdiri daripada Dato’ Ambiga Sreenevasan, Razlan Hadri Zulkifli, Sangeet Kaur Deo dan Lim Wei Jiet atas khidmat mereka sepanjang proses perundangan.
Selepas kemenangan ini, Hannah Yeoh berkata tumpuannya kini adalah untuk terus melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan.
