PAPAR, SABAH November 28. 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Manifesto PRN Sabah 2025 berjanji akan meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi menetapkan had maksimum jawatan Ketua Menteri hanya dua penggal berturut-turut atau maksimum 10 tahun, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, pindaan tersebut bukan sekadar janji kempen, malah telah pun diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah dan sedia dibentangkan sebaik sahaja mendapat mandat baharu daripada rakyat.
“Pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri. Kami mengharapkan rakyat memberi kami mandat yang stabil supaya reformasi ini dapat dilaksanakan dengan segera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen GRS melaksanakan reformasi institusi dan undang-undang bagi mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan kepada individu atau institusi yang terlalu lama memegang tampuk pemerintahan.
Dalam masa yang sama, Armizan mengkritik Parti Warisan kerana semasa memerintah Sabah pada 2018–2020, bukannya memperkenalkan had tempoh jawatan, malah meminda Perlembagaan Negeri untuk memansuhkan had penggal bagi Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Warisan bukan sahaja tidak membawa reformasi, malah membawa Sabah berundur ke belakang dengan menghapuskan had tempoh TYT. Ini bukti jelas mereka tidak serius dengan prinsip tadbir urus baik,” tegasnya.
Armizan menyeru rakyat Sabah supaya “menyelamatkan Sabah dari Warisan” dan mengundi GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 dengan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga”.
