Kuala Lumpur, 12 Mac 2026 – Memegang teguh prinsip “Sentiasa Bersamamu”, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. meneruskan komitmen sosialnya sempena Ramadan tahun ini menerusi usaha berterusan yang memfokuskan kesejahteraan komuniti di bawah Program Cahaya Ramadan 2026.
Program Cahaya Ramadan kini memasuki tahun keenam pelaksanaannya. Sejak 2021 hingga 2026, sebanyak 138,500 buku roti berjaya diedarkan hasil penglibatan aktif bersama komuniti setempat. Daripada jumlah tersebut, 30,000 buku roti Gardenia Original Classic diagihkan kepada 20 masjid terpilih di Semenanjung Malaysia pada tahun ini, lengkap dengan sampul raya edisi terhad khas buat setiap jemaah, menjadikan pengalaman Ramadan mereka lebih bermakna dan istimewa.
Selari dengan semangat Ramadan yang mengangkat nilai keprihatinan dan kebersamaan, Program Cahaya Ramadan: Sehari Bersama Gardenia dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), bertujuan membantu golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan disalurkan secara tepat dan berkesan. Program ini bukan sekadar sumbangan, malah merupakan manifestasi sokongan dan empati Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. yang menyalurkan dana berjumlah RM25,000 kepada 50 buah keluarga terlibat untuk memilih dan melengkapkan keperluan Raya mengikut cita rasa sendiri, menjadikan persiapan Aidilfitri kali ini lebih bermakna dan meriah.
Program selama sehari ini telah berlangsung pada 11 Mac 2026 di Mydin Subang Jaya, di mana setiap keluarga asnaf diiringi oleh sukarelawan bagi memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa, teratur dan mesra. Selesai sesi tersebut, para keluarga diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan di ISTAC IIUM, sebelum pihak Gardenia menyampaikan sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan serta menyemarakkan keceriaan menjelang Syawal.


Bercakap mengenai intipati program ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, “Sesungguhnya keprihatinan seperti inilah yang kita harapkan daripada lebih banyak pihak korporat di negara ini agar berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.”
Sementara itu, Puan Ena Suhaila Abas, Pengurus Kanan Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. turut berkata, “Di Gardenia, semangat memberi bukan bermusim, sebaliknya menjadi pendekatan berterusan kami dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui inisiatif sosial dan kebajikan komuniti yang menyeluruh. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban, mencipta detik yang bermakna, dan menyatukan masyarakat dalam semangat kasih sayang dan syukur.”
Melalui pelaksanaan inisiatif ini, Gardenia komited untuk menyampaikan manfaat praktikal dan berimpak tinggi kepada komuniti, selaras dengan aspirasi tanggungjawab sosial korporat syarikat. Program ini juga memperkukuh nilai kebersamaan yang menjadi teras Ramadan, sambil memastikan setiap usaha murni dinikmati oleh golongan yang memerlukan dan membawa sinar keberkatan dalam setiap kebaikan.

