Oleh Dr Mahyudin Daud dan Mohd Fauzan Abdullah
Islam ialah agama wahyu yang dibina atas fakta-fakta yang jelas, tetap dan terpelihara atau dalam istilah moden disebut eksplisit (explicit). Ia membawa maksud fakta agama adalah dinyatakan secara langsung dan terang, tidak memerlukan tafsiran spekulatif, tidak bersifat tersirat atau ambigu.
Fakta-fakta ini tidak lahir daripada eksperimen intelektual manusia, tetapi bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman ulama muktabar sepanjang sejarah. Justeru, agama Islam bukan medan tafsiran bebas yang boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja tanpa ilmu, disiplin dan autoriti.
Namun, dalam realiti masyarakat Islam hari ini, termasuk di Malaysia, semakin ketara kecenderungan sebahagian individu bukan ahli dalam ilmu agama untuk mentafsir fakta-fakta Islam mengikut logik peribadi, sentimen semasa atau kerangka pemikiran luar. Fenomena ini telah melahirkan kekeliruan serius dalam isu akidah, tafsir, hadis, syariah dan fatwa.
Fakta akidah: Wahyu mengatasi spekulasi akal
Akidah Islam adalah fakta asas yang tidak boleh ditawar-menawar. Ia dibina atas wahyu, bukan spekulasi akal atau falsafah. Allah SWT berfirman: “Dan dia (Muhammad) tidak berkata menurut hawa nafsunya. Ia tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.” (Surah al-Najm: 3 – 4)
Namun, terdapat pihak yang mentafsirkan konsep ketuhanan, kenabian dan akhirat secara simbolik atau metafora semata-mata, sedangkan ulama Ahl al-Sunnah sejak awal telah menolak pendekatan ini.
Imam Abu Ja‘far al-Tahawi menegaskan dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah bahawa akidah Islam diterima dengan taslim (penyerahan) kepada nas, bukan dengan menundukkan nas kepada akal. Imam al-Ghazali pula mengingatkan bahawa akal berfungsi sebagai alat memahami wahyu, bukan hakim yang mengatasi wahyu.
Ibn Taymiyyah menegaskan secara jelas bahawa pertentangan sebenar bukan antara akal dan wahyu, tetapi antara wahyu dan akal yang rosak. Maka, menjadikan akidah sebagai wacana falsafah bebas adalah satu penyelewengan fakta agama.
Antara kes yang boleh dirujuk dalam pentafsiran fakta akidah ialah ada pihak yang mentafsirkan syurga dan neraka hanya sebagai simbol psikologi, bukan realiti sebenar, sedangkan al-Quran dan ijmak ulama menetapkannya sebagai hakikat yang wujud. Sebahagian individu mempertikaikan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj kerana dianggap tidak rasional secara saintifik, walaupun ia merupakan mukjizat yang sahih berdasarkan wahyu. Ada pula yang mentafsir sifat-sifat Allah secara logika berdalilkan zahir al-Quran dan hadis sehingga bertembung dengan pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang merupakan pegangan majoriti umat.
Fakta tafsir al-Quran: Sebuah disiplin ilmu
Antara kesilapan besar yang sering berlaku ialah anggapan bahawa setiap Muslim boleh mentafsir al-Quran secara langsung hanya dengan membaca terjemahan. Akibatnya, ayat-ayat al-Quran digunakan untuk menyokong pelbagai agenda, termasuk yang bercanggah dengan ijmak ulama. Rasulullah SAW memberi amaran keras: “Sesiapa yang berkata tentang al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka bersedialah tempatnya di neraka.” (Riwayat al-Tirmizi)
Imam al-Tabari, Ibn Kathir dan al-Qurtubi menegaskan bahawa tafsir al-Quran mesti berpandukan bahasa Arab, asbab al-nuzul, tafsiran para sahabat dan ijmak ulama. Imam al-Suyuti dalam al-Itqan menyenaraikan lebih sepuluh disiplin ilmu yang perlu dikuasai sebelum seseorang layak mentafsir al-Quran. Tanpa disiplin ini, tafsiran al-Quran bukan sahaja tidak sah, malah berpotensi menyesatkan masyarakat.
Antara kes yang boleh dirujuk ialah ayat ‘tiada paksaan dalam agama’ digunakan untuk menyokong pluralisme agama mutlak, sedangkan tafsir ulama menunjukkan ia berkaitan larangan memaksa non-Muslim memeluk Islam. Demikian ayat pembahagian pusaka ditafsir semula atas dasar kesamarataan moden tanpa memahami sistem tanggungjawab nafkah dalam Islam. Ayat-ayat berkaitan jenayah dianggap tidak relevan pada zaman moden walhal Islam adalah sesuai pada setiap masa dan tempat.
Fakta sunnah: Sumber hukum yang mengikat
Antara salah tafsir yang semakin menular ialah sikap memilih hadis berdasarkan kesesuaian dengan pemikiran tertentu. Ada yang menganggap Sunnah sekadar budaya Arab atau boleh ditolak jika tidak selari dengan rasional semasa. Hakikatnya, Sunnah Nabi SAW adalah sumber hukum yang mengikat, sebagaimana firman Allah SWT: “Apa yang dibawa datang oleh Rasul kepada kamu, maka ambillah, dan apa yang dilarangnya, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hashr: 7).
Imam al-Shafi‘i menegaskan dalam al-Risalah bahawa Sunnah adalah penjelas kepada al-Quran dan sesiapa yang menolaknya telah meruntuhkan asas agama. Imam Ahmad bin Hanbal pula menegaskan bahawa menolak hadis sahih adalah ciri kesesatan ahli bid‘ah.
Ulama kontemporari seperti Syeikh Muhammad al-Amin al-Shanqiti dan Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah menegaskan bahawa kritikan terhadap hadis mesti dibuat melalui ilmu mustalah hadis, bukan logik awam.
Antara kes yang boleh dirujuk ialah pentafsiran hadis Nabi SAW berkaitan kewajipan menutup aurat ditolak dengan alasan ia hanya budaya Arab. Sebahagian pihak pula menolak hadis sahih berkaitan riba kerana dianggap tidak sesuai dengan sistem kewangan moden.
Fakta syariah dan maqasid: Keanjalan yang terikat
Islam memang anjal dalam perkara cabang, tetapi keanjalan ini terikat dengan nas dan kaedah Usul al-Fiqh. Namun, konsep maqasid syariah sering disalahgunakan untuk menolak hukum yang qat‘i. Imam al-Shatibi, tokoh utama maqasid syariah, menegaskan bahawa maqasid tidak boleh difahami secara terpisah daripada nas. Bahkan beliau menegaskan bahawa maslahat yang bercanggah dengan dalil syarak bukanlah maslahat yang diiktiraf. Kaedah fiqh yang disepakati ulama menyebut bahawa “Tidak ada ijtihad pada perkara yang telah ada nas yang jelas”.
Ulama kontemporari seperti Syeikh Wahbah al-Zuhayli dan Syeikh Yusuf al-Qaradawi juga menegaskan bahawa tajdid dan ijtihad tidak pernah bermaksud membatalkan hukum yang qat‘i.
Antara kes yang boleh dirujuk ialah isu riba yang cuba dihalalkan atas alasan keperluan ekonomi moden walaupun pengharamannya qat‘i. Konsep maqasid digunakan untuk menyokong perkara yang jelas bertentangan dengan nas. Ada yang mencadangkan pengguguran kewajipan tertentu tanpa memenuhi syarat rukhsah yang ditetapkan syarak.
Fakta fatwa: Amanah berat yang dipikul oleh ahlinya
Fatwa bukan pendapat peribadi atau reaksi spontan terhadap isu semasa. Ia adalah amanah ilmu yang berat kerana ia berbicara atas nama Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling berani memberi fatwa ialah orang yang paling berani terhadap neraka.” (Riwayat al-Darimi)
Ibn al-Qayyim dalam I‘lam al-Muwaqqi‘in menegaskan bahawa mufti hakikatnya “menandatangani” hukum bagi pihak Allah, maka fatwa tanpa ilmu adalah jenayah agama. Atas dasar ini, institusi mufti dan fatwa diwujudkan untuk menjaga fakta agama daripada disalah tafsir oleh bukan ahlinya.
Antara kes yang boleh dirujuk ialah terdapat orang awam memberi fatwa melalui media sosial tanpa kelayakan ilmu. Ada juga kes hukum agama dikeluarkan berdasarkan sentimen semasa, bukan dalil dan disiplin ilmu. Lebih parah lagi apabila fatwa dibuat tanpa memahami realiti setempat dan maqasid syariah.
Mengembalikan fakta agama kepada tradisi ilmu
Islam tidak menolak akal, perbincangan dan pembaharuan. Namun, semuanya mesti bergerak dalam kerangka wahyu dan tradisi ilmu. Fakta-fakta agama bukan milik individu, selebriti atau ideologi, tetapi amanah yang diwarisi oleh para ulama. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Maka, sesuai bulan Ramadan yang penuh berkat, ditegaskan bahawa memelihara agama bermakna mengembalikan fakta-faktanya kepada ahlinya, serta menyedari bahawa bercakap tentang agama tanpa ilmu bukan tanda keberanian intelektual, tetapi punca kerosakan dalam beragama yang berpotensi mengacau ganggu keharmonian umat.


Dr. Mahyudin Daud ialah Timbalan Dekan di Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC), Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
