
Kota Kinabalu, 13 Disember 2025 – Dalam usaha memeriahkan serta mempromosikan musim durian di Sabah, Tourism Malaysia Sabah bersama rakan strategiknya, Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) telah melancarkan risalah Sabah Agro Tourism – A Unique Sabah’s Farmland Experience (Edisi ke-2). Pelancaran yang diadakan di Dking, Segama Kota Kinabalu itu turut disempurnakan dengan kehadiran YB. Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, YBhg. Datuk Jamawi Jaafar.
Edisi terbaharu ini meneruskan kejayaan edisi pertama yang telah dilancarkan pada bulan Ogos 2024 dengan menampilkan 24 pengusaha ladang buah-buahan tempatan serta pakej agropelancongan yang mempromosikan Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom, Tawau dan beberapa lokasi luar bandar lain yang terkenal dengan kepelbagaian pilihan durian dan buah-buahan tropika.
Antara tawaran menarik yang disediakan termasuk pelbagai pilihan jenis lawatan bermula daripada kunjungan setengah hari ke kebun durian, pengalaman inap desa berasaskan ladang, sehinggalah lawatan lengkap untuk menikmati durian unik Sabah seperti durian pulu, dalit, sukang dan lain-lain. Setiap pakej dibangunkan melalui kerjasama dengan pengusaha ladang, komuniti setempat dan penggiat industri pelancongan bagi menyokong aktiviti agropelancongan serta membantu meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat.
Puan Zuraini Abd Ghani, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata bahawa pembangunan risalah Sabah Agro Tourism (Edisi ke-2) ini mencerminkan komitmen Sabah dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang segar dan berteraskan komuniti.
“Edisi ini memberi peluang kepada pelawat untuk merasai sendiri kekayaan warisan agro Sabah sekali gus menyokong pembangunan pelancongan luar bandar serta penjanaan ekonomi masyarakat setempat. Ia juga merupakan salah satu usaha persiapan ke arah menyambut kemeriahan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.
Turut berlangsung di Segama Waterfront, Kota Kinabalu ialah Durian Tourism Bazaar 2025 bermula 12 sehingga 14 Disember 2025. Karnival anjuran MaSDa selama tiga hari ini menghimpunkan lebih 20 pengusaha durian dan buah-buahan tempatan dari seluruh Sabah, menawarkan pelbagai pilihan buah-buahan serta produk berasaskan buah-buahan kepada pengunjung pada harga yang menarik. Penganjuran buat julung kalinya di Kota Kinabalu, dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan FAMA diharapkan dapat mempromosikan Sabah sebagai destinasi antara destinasi agropelancongan unggul di Malaysia serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.
