Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) telah Berjaya menganjurkan Debat Piala Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bagi sesi 2025/2026 sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh budaya intelektual, pemikiran kritis, kemahiran berkomunikasi serta diskusi ilmiah secara sihat dalam kalangan mahasiswa. Penganjuran debat ini turut bertujuan mencungkil bakat dan melahirkan pelapis baharu yang berpotensi mewakili Universiti Malaya ke pertandingan debat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Program ini dilaksanakan dalam tiga kategori Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Arab yang mana telah berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai kolej kediaman dan juga cawangan lain Universiti Malaya menjadikan ia sebagai medan wacana ilmiah yang berprestij di peringkat universiti.

Program ini telah berlangsung pada 3 hingga 4 Januari 2026, dengan pusingan awal dilaksanakan di sekitar Kompleks Ambang Asuhan Jepun dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, manakala peringkat akhir bagi kategori Bahasa Melayu serta Majlis Penutupan telah diadakan di Auditorium Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya.




Dalam pertandingan akhir kategori Bahasa Melayu, pasukan daripada Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR) telah berjaya menewaskan pasukan daripada Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (ROYAL) apabila usul “Demi menjamin kerelevanan Universiti Malaya, Dewan ini menggesa agar struktur kurikulum major dan minor dikembalikan semula” diterima oleh empat daripada tujuh dewan. Saudara Faris Rezky daripada perwakilan pembangkang telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir dalam persidangan tersebut.
Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan dari Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman (ASTAR) turut muncul sebagai juara manakala kategori Bahasa Arab dimenangi oleh pasukan ALPHA. Pendebat terbaik bagi setiap kategori turut diumumkan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu dalam pertandingan ini.

Majlis Penutupan program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Zamri bin Radzi, yang turut menzahirkan rasa bangga terhadap penganjuran program yang berlangsung dengan gilang-gemilang serta berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa budaya debat dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaya.
