Budaya confession toksik mengancam generasi muda

Oleh Atifah Ahmad Yusoff

Confession meletihkan emosi. Gambar hiasan oleh Karla Rivera – Unsplash

Dalam era keterbukaan digital hari ini, budaya laman confession atau pengakuan tanpa nama (anonymous) semakin menjadi norma dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Platform yang asalnya diwujudkan untuk meluahkan tekanan kini berubah menjadi saluran yang mengancam kestabilan emosi, perpaduan sosial dan pembentukan sahsiah belia.

Laman-laman confession ini, lazimnya diwujudkan di Facebook, Telegram atau laman sosial lain, memberi peluang kepada pengguna untuk meluahkan perasaan, pengalaman dan kritikan mereka secara tanpa nama. Namun, di sebalik niat asal untuk memberi ruang ekspresi, budaya ini kini dilihat sebagai satu ancaman baharu kepada kesejahteraan mental belia, maruah individu dan reputasi institusi pendidikan sebagai pembentuk nilai jati diri dari satu generasi ke generasi.

Fenomena confession ini tidak lagi terhad kepada perkongsian pengalaman peribadi atau luahan perasaan cinta secara diam. Ia berkembang menjadi tempat mendedahkan aib, menyebarkan kecaman, mencetuskan syak wasangka, dan menyerang individu serta institusi secara terbuka. Kesan buruknya sangat besar dan tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi kepada kelompok belia yang sedang membentuk jati diri dan masa depan negara.

Di sebalik anonymous

Fenomena ini berkembang pesat kerana sifatnya yang mudah diakses dan menjanjikan kerahsiaan. Pengguna hanya perlu mengisi borang Google atau pautan khas untuk menghantar confession mereka. Luahan tersebut kemudiannya disiarkan oleh pentadbir laman tanpa identiti terbuka. Namun, tanpa sebarang bentuk akauntabiliti atau pengesahan fakta, laman confession menjadi medan terbuka kepada penghinaan, tohmahan dan pencemaran nama baik.

Menurut sebuah kajian pada tahun 2018, motivasi terbesar pengguna membuat pernyataan di laman confession adalah kerana mereka boleh berlindung di sebalik anonymous dan bebas daripada sebarang tanggungjawab terhadap kesan negatif selepas kandungan disebarkan. Tambahan lagi, pentadbir yang juga tidak dikenali menjadikan ruang ini bebas untuk menyebar aib dan kebencian tanpa rasa bersalah.

Budaya buli siber

Antara budaya buli siber yang berlaku ialah tuduhan palsu yang merosakkan reputasi seseorang (fitnah) dan komen menghina atau merendahkan individu (derogatory comments). Situasi ini hampir tidak dapat dielakkan dan menjadi lebih parah di laman confession, kerana pelaku seolah-olah membaling batu tetapi menyembunyikan tangan. Tiada tindakan boleh diambil kerana mereka tampil ‘anonymous’.

Lebih membimbangkan, ada confession yang secara sengaja menyebut nama individu atau organisasi untuk menjatuhkan maruah dan reputasi mereka. Penghinaan terhadap individu atau organisasi semakin menjadi budaya kerana pelaku menyembunyikan diri di sebalik nama “anon”. Hal ini sangat bertentangan dengan nilai Islam: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain… Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11)

Budaya ‘spill the tea’

Laman confession tanpa etika dan kawalan menjadi tempat gosip, mengumpat dan menyebar cerita tanpa tabayyun. Ia bercanggah dengan akhlak Islam: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka… Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain…” (Al-Hujurat: 12)

Tanpa semangat semakan fakta dan sikap menjaga maruah sesama manusia, masyarakat akan hidup dalam penuh kecurigaan, perpecahan dan kebencian. Budaya ini membentuk generasi yang lebih gemar meluah secara umum tetapi enggan bersemuka secara beradab, melemahkan budaya dialog dan membentuk komuniti yang rapuh.

Confession meletihkan emosi

Laman confession menyumbang kepada keletihan emosi. Kisah tekanan, kecurangan, kebencian dan kemarahan yang dibaca setiap hari menambahkan toksik dalam minda dan hati. Pembaca tidak lagi mampu merasakan empati dan menghilangkan budaya bersangka baik.

Lebih membimbangkan, pembaca yang sedang bergelut dengan masalah peribadi akan merasa lebih tertekan apabila membaca kisah serupa tanpa penyelesaian yang membina. Mereka boleh terikut-ikut menjadikan confession sebagai saluran melarikan diri — bukan menyelesaikan isu secara matang.

Laman confession bukan medium mencari penyelesaian

Untuk mewujudkan ruang confession yang beretika, peluah harus menjaga adab dan maruah orang yang disebut. Sekiranya ingin mendapat penyelesaian, berjumpalah pihak yang berautoriti. Pembaca pula harus meneliti kebenaran setiap curahan hati yang tampil secara anonymous: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (tabayyun) terlebih dahulu…” (Al-Hujurat: 6)

Ayat ini mengajar kita untuk berhati-hati sebelum mempercayai dan menyebarkan sebarang maklumat — apatah lagi daripada sumber yang tidak dikenali.

Perspektif undang-undang

Meskipun ditulis tanpa nama, confession yang tidak beretika dan menjurus kepada buli siber tetap tertakluk kepada undang-undang. Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang berkaitan buli siber mula dikuatkuasakan pada 11 Julai 2025.

Pindaan ini memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G — memperuntukkan hukuman bagi komunikasi yang menghina atau mengancam, serta penyebaran maklumat peribadi tanpa izin (doxing). Pentadbir laman confession juga boleh disiasat jika didapati meluluskan kandungan yang melanggar undang-undang.

Kesimpulan

Sudah tiba masanya semua pihak mengambil langkah serius. Unit kaunseling perlu menyediakan saluran rasmi yang selamat dan dipercayai. Institusi pendidikan harus mendidik tentang etika digital dan bahaya buli siber. Kerajaan pula wajar memperketatkan undang-undang terhadap pelaku buli siber — termasuk yang bersembunyi di sebalik identiti palsu.


Dr Atifah Ahmad Yusoff

Dr Atifah Ahmad Yusoff ialah pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp