Oleh Dr Ariyanti Mustapha
Hubungan songsang yang terjalin antara pasangan sesama jenis telah dijelaskan dengan jelas dalam al-Qur’an melalui kisah kaum Nabi Lūṭ AS yang cenderung melakukan perbuatan luar tabi‘i. Kisah yang dirakamkan lebih 1,400 tahun lalu ini menggambarkan bagaimana kaum tersebut akhirnya dimusnahkan oleh Allah SWT sehingga seolah-olah mereka tidak pernah wujud di muka bumi. Bentuk hukuman tersebut mencerminkan betapa seriusnya larangan terhadap hubungan songsang, kerana ia bercanggah dengan fitrah penciptaan manusia dan prinsip moral yang ditetapkan oleh agama.
Dari perspektif ilmu sosial, homoseksualiti atau orientasi seksual merujuk kepada kecenderungan emosi dan seksual terhadap individu yang mempunyai jantina atau gender yang sama. Walau bagaimanapun, hubungan sesama jenis ini dianggap terpesong daripada norma kemanusiaan yang sejahtera, bukan sahaja kerana bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga kerana ia ditolak oleh sebahagian besar agama utama lain yang menekankan hubungan heteroseksual sebagai asas pembinaan keluarga dan kesinambungan generasi.

Perkembangan semasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini dengan membabitkan penangkapan seramai 171 lelaki berusia di antara 19 hingga 66 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti songsang di rumah urut dan pusat spa, telah membuka mata masyarakat di Malaysia bahawa aktiviti seperti ini perlu dihindari daripada terus menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat.
Hubungan intim dalam kalangan pasangan sesama jenis yang disebut sebagai lesbian dan homoseksual adalah salah satu bentuk salah laku yang sukar untuk disabitkan dengan kesalahan seperti berzina, akibat ketiadaan bukti kukuh, di samping tiada pengakuan daripada mangsa direkodkan telah menyebabkan kes tidak dapat diteruskan. Jenayah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat semakin membimbangkan kerana ia membabitkan salah laku dalam perhubungan sesama jenis yang sukar disabitkan dengan tindakan undang-undang sedia ada bagi kes eksploitasi, pelacuran, dan perlakuan luar tabi‘i.
Faktor penyumbang
Perhubungan luar tabi‘i yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia telah menunjukkan wujudnya pengaruh signifikan daripada paparan media termasuk video lucah yang telah dimuat turun melalui aplikasi media sosial. Selain itu, tayangan filem dan drama dari negara Barat dan Korea yang memaparkan hubungan sesama jenis sebagai satu norma sosial turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penerimaan dan kecenderungan terhadap hubungan sesama jenis yang semakin berleluasa di Malaysia.
Kajian turut menunjukkan bahawa konflik keluarga iaitu pengalaman trauma menyaksikan pertengkaran ibu bapa, situasi keganasan domestik, serta penderaan emosi dan fizikal merupakan antara faktor utama yang mendorong sebahagian individu terjebak dengan hubungan songsang, sehingga mewujudkan perasaan trauma terhadap individu berlainan gender.
Selain itu, kegagalan dalam perkahwinan atau percintaan turut menjadi penyumbang kepada perubahan tingkah laku dan orientasi hubungan. Masalah dalaman di antara pasangan menyebabkan salah satu pasangan mencari keseronokan di luar rumah melalui perhubungan dengan kaum sejenis yang dianggap lebih memahami emosi dan perasaan mereka.
Fenomena ini juga tidak terhad kepada masyarakat umum, malah turut berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dan universiti. Sebahagian mereka menganggap hubungan sesama jenis ini sebagai satu bentuk hubungan yang ‘selamat’ kerana pasangan tersebut sukar disabitkan dengan sebarang tindakan disiplin atau kesalahan moral secara jelas. Sikap pasangan sesama jenis yang sering dilihat sebagai lebih penyayang, berlemah lembut dengan pasangan serta menunjukkan ekspresi emosi yang positif berbanding dengan pasangan heteroseksual dalam menyelesaikan sesuatu konflik menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan hubungan sejenis di Malaysia.
Kelemahan dalam memahami ajaran agama serta kurangnya usaha untuk mendalami tuntutan syariat menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hubungan sesama jenis dalam masyarakat. Pandangan skeptikal yang menganggap keterikatan emosi dalam hubungan sejenis sebagai suatu fitrah semula jadi perlu diperbetulkan melalui pendidikan agama yang jelas dan berautoriti agar salah tanggapan tersebut tidak terus berkembang sehingga menjejaskan kesejahteraan sosial.
Sehubungan itu, dapat dirumuskan bahawa fenomena hubungan sejenis yang semakin berleluasa di Malaysia perlu dibendung melalui pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek perundangan, keagamaan, dan sosial. Peranan masyarakat termasuk jiran tetangga, institusi pendidikan, dan rakan sekerja penting sebagai pihak yang peka terhadap tingkah laku berisiko serta mampu melaporkan salah laku yang wajar ditangani sejak awal sebelum ia berkembang menjadi lebih serius.
Pada masa yang sama, pemahaman dan kepatuhan terhadap ajaran agama perlu diperkukuh sebagai asas utama dalam membentuk tingkah laku individu agar selari dengan piawaian syarak serta tidak bercanggah dengan fitrah dan norma semula jadi manusia.

Dr Ariyanti Mustapha ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
