17 SEPTEMBER 2025 – Balai Seni Negara pada tahun ini meraikan ulang tahun ke-67 penubuhannya, sekali gus memperkukuh peranan sebagai institusi seni visual negara. Dari Kuala Lumpur ke Langkawi, denyut seni itu kini diteruskan ke Ipoh dengan penubuhan cawangan baharu yang dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh, sebagai sebuah galeri seni kontemporari yang memperkaya landskap kreatif negeri Perak.

Sebagai pemula kepada pembukaan cawangan di Ipoh, Perak, Balai Seni Negara menganjurkan program “Ipoh Suka Langka” pada 19 dan 20 September 2025. Program ini bakal berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Ipoh dan sekitar lokasi penting bandar raya termasuk Dataran Dato’ Sagor, Townhall, Masjid Sultan Idris Shah II serta Pekan Ipoh.
Program selama dua hari ini mengetengahkan pelbagai aktiviti yang menggabungkan seni visual, budaya dan komuniti dalam suasana yang inklusif serta meriah. Antara pertandingan seni yang dianjurkan termasuk Ipoh Plein Air, Mobilegraphy – Jejak Seni, dan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak. Aktiviti komuniti pula merangkumi Skate Jam dan Neon Art Walk, manakala bengkel interaktif termasuk AR Colouring, Tayangan Animasi, Doodle Workshop, dan Cupcake Workshop.

Pengunjung juga dapat menikmati persembahan pentas yang menampilkan bakat-bakat seni tempatan. Turut diadakan ialah Bicara Rohani bersama penceramah jemputan iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre dan sesi Rapat Kurator bersama penggiat seni serta pelbagai aktiviti reruai yang lain.
Menariknya, program ini turut menampilkan pertunjukan Projection Mapping di bangunan Balai Seni Negara Cawangan Ipoh pada setiap malam sepanjang program
berlangsung, menggabungkan teknologi digital, ekspresi kreatif dan pengalaman imersif untuk para pengunjung.

Program akan dirasmikan pada 19 September 2025 (Jumaat) jam 9.00 malam. Majlis turut disertakan dengan pelancaran inisiatif “Digitalisasi Ipoh Suka Langka” dan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi “Kostum Neon Paling Kreatif”.
Melalui pelbagai pengisian yang dirangka, program ini bukan sahaja berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat, malah turut menandakan permulaan penting bagi Balai Seni Negara Cawangan Ipoh sebagai mercu baharu di Ipoh, Perak.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program ini serta bersama-sama meraikan seni, budaya dan komuniti di bandar raya Ipoh. Maklumat lanjut mengenai jadual pertandingan dan aktiviti, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.