Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, sebuah monumen bersejarah yang menjadi saksi kepada beberapa peristiwa penting dalam pembentukan negara bangsa Malaysia.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa penguasaan teknologi baharu sebagai pemacu kemajuan negara mesti dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh jati diri bangsa, mengangkat sejarah serta memelihara warisan budaya tempatan.
“Pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Seri Negara selain Projek Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL), mencerminkan iltizam Kerajaan untuk menghidupkan semula aset warisan negara sebagai pemangkin ekonomi, pemerkasaan komuniti dan pembinaan identiti kota,” kata Anwar dalam posting di media sosialnya.
Beliau menambah, inisiatif ini bukan sekadar “gebang kosong” atau usaha fizikal semata-mata, tetapi sebahagian daripada visi besar untuk membentuk sebuah bandar raya yang bersih, maju, mesra alam dan berjiwa.
Kerajaan MADANI, tegas Anwar, akan terus memastikan pembangunan bandar tidak melahirkan kota yang “gersang budaya”, sebaliknya berkembang sebagai persekitaran yang lestari, hijau dan berpaksikan nilai kemanusiaan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negara.
Seri Negara, yang merupakan sebahagian daripada kompleks Carcosa Seri Negara, merupakan bangunan kolonial bersejarah yang pernah menjadi kediaman rasmi dan saksi peristiwa penting seperti pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Projek pemuliharaannya merupakan sebahagian daripada inisiatif Warisan KL yang lebih luas, melibatkan pelaburan signifikan untuk menghidupkan semula pusat bandar bersejarah sebagai hab kreativiti dan budaya.
Majlis ini menandakan satu lagi langkah kerajaan dalam menyeimbangkan kemajuan moden dengan pemeliharaan identiti nasional.

