Anwar Ibrahim adakan pertemuan dengan Presiden Ethiopia, bincang hala tuju baharu hubungan dua hala

20

ETHIOPIA, 19 November 2025  – Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkesempatan mengadakan pertemuan ringkas tetapi bermakna bersama Presiden Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, Taye Atske Selassie Amde, sempena memperingati 60 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin sehaluan bahawa hubungan Malaysia-Ethiopia perlu dipacu dengan hala tuju baharu dengan meluaskan kerjasama daripada sektor tradisional kepada bidang bernilai tinggi seperti industri semikonduktor, ekonomi halal, keselamatan siber serta pelbagai sektor strategik lain yang berpotensi membuka ruang pertumbuhan bersama.

Anwar Ibrahim turut menzahirkan komitmen kerajaan Malaysia melalui pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu. Langkah ini mencerminkan pengiktirafan Malaysia terhadap kedudukan Ethiopia sebagai hab diplomatik penting di benua Afrika.

Malaysia juga amat mengalu-alukan penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur, yang dianggap sebagai satu lagi langkah signifikan bagi memperkukuh jambatan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama dua hala.

“Semoga hubungan Malaysia dan Ethiopia terus diperkasa dengan semangat persahabatan tulen, keyakinan bersama dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di platform media sosialnya.

Hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia secara rasmi bermula pada tahun 1965, dan tahun ini genap 60 tahun usia hubungan tersebut. Pertemuan terbaru ini dijangka menjadi titik tolak bagi kerjasama yang lebih erat dan saling menguntungkan pada masa hadapan.

Foto Kredit : PMO

E Arkian

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

RSS
Follow by Email
WhatsApp