Oleh Najihah Farhana Muhammad Hasbi dan Dr. Suzana Ariff Azizan
Apabila kita bercakap tentang pencemaran plastik, kebanyakan daripada kita membayangkan botol plastik tersangkut di longkang, beg plastik hanyut di sungai atau timbunan sampah yang melimpah dari tong di kawasan perumahan. Pencemaran yang boleh dilihat dengan mata kasar dan mudah dikenal pasti, malah boleh ditunjuk dengan jari. Namun, realitinya jauh lebih membimbangkan. Ancaman sebenar mungkin bukan yang dapat kita lihat, tetapi yang tersembunyi di sebalik pandangan kita.
Kajian saintifik telah mendedahkan satu hakikat yang membimbangkan, iaitu kewujudan serpihan plastik bersaiz amat kecil yang dikenali sebagai mikroplastik dalam ekosistem semula jadi. Serpihan ini kini berada dalam sungai, laut, udara, makanan dan juga air minuman kita. Mikroplastik merujuk kepada zarah plastik berukuran kurang daripada lima milimeter, lebih kecil daripada sebutir beras. Saiznya yang kecil membolehkannya bergerak bebas dalam alam sekitar tanpa disedari, menyusup ke dalam ekosistem dan akhirnya kembali kepada manusia.
Persoalannya, adakah masyarakat sebenarnya sedang memakan plastik tanpa disedari? Pelbagai kajian menunjukkan kemungkinan itu bukan lagi sekadar teori. Bukti saintifik yang semakin bertambah dalam isu ini memerlukan perhatian serius dan tindakan segera, khususnya dalam konteks pembangunan lestari dan kesihatan masyarakat.
Mikroplastik tidak muncul secara tiba-tiba. Ia terhasil melalui dua mekanisme utama. Pertama, apabila plastik bersaiz besar seperti botol minuman, pembungkus makanan dan beg plastik terurai akibat pendedahan kepada cahaya matahari, haba dan geseran fizikal dalam tempoh yang panjang. Proses degradasi ini memecahkan plastik kepada serpihan-serpihan yang kecil sehingga akhirnya menjadi mikroplastik.
Kedua, terdapat mikroplastik primer yang sememangnya dihasilkan dalam bentuk halus sejak dari awal. Ia wujud dalam produk harian seperti bahan pencuci, kosmetik, produk penjagaan diri, baja dan bahan industri yang menggunakan bahan tambahan berasaskan plastik. Selain itu, gentian sintetik daripada pakaian yang tertanggal ketika proses cucian serta sisa industri turut menyumbang kepada pencemaran ini.
Disebabkan saiznya yang amat kecil, mikroplastik mudah melepasi sistem saliran dan rawatan air sedia ada sebelum mengalir ke sungai dan laut. Keadaan ini diburukkan lagi dengan amalan pembakaran terbuka sisa plastik. Proses tersebut bukan sahaja mencemarkan udara, malah melepaskan serpihan plastik halus dan jelaga ke atmosfera. Zarah-zarah ini kemudiannya boleh kembali ke tanah dan sumber air melalui hujan, mewujudkan satu kitaran pencemaran yang sukar diputuskan.
Beberapa insiden pencemaran air yang berlaku sebelum ini telah membuka mata masyarakat tentang bahaya bahan kimia terhadap kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar. Namun, di sebalik pencemaran yang jelas kelihatan, kajian-kajian terkini turut menunjukkan kehadiran mikroplastik dalam sistem perairan. Penemuan ini menunjukkan pencemaran plastik berkemungkinan telah lama wujud tanpa disedari akibat sifatnya yang halus dan sukar dikesan. Situasi ini membuktikan bahawa isu mikroplastik bukan sekadar ancaman masa depan, sebaliknya merupakan realiti semasa yang sedang berlaku dalam sistem perairan yang menjadi sumber kehidupan masyarakat setiap hari.
Jika sungai yang menjadi nadi kehidupan komuniti sudah mengandungi zarah plastik halus, persoalan seterusnya ialah: ke manakah zarah ini pergi selepas itu?
Isu ini menjadi lebih serius apabila mikroplastik ditemui dalam sumber makanan. Kajian terhadap ikan yang biasa dimakan mendapati kewujudan zarah mikroplastik bukan sahaja dalam sistem pencernaan, malah dalam tisu otot ikan yang lazim dijadikan hidangan harian. Ini bermakna serpihan tersebut berpotensi memasuki tubuh manusia melalui pengambilan makanan.
Walaupun kesan jangka panjang terhadap kesihatan manusia masih dalam peringkat kajian, bukti awal daripada makmal menunjukkan bahawa zarah mikroplastik yang sangat halus berupaya memasuki pelbagai organ dan berpotensi menyebabkan kesan toksik. Tambahan pula, mikroplastik boleh bertindak sebagai pembawa bahan kimia berbahaya yang melekat pada permukaannya, sekali gus meningkatkan risiko dan kesan kesihatan yang lebih kompleks.
Justeru, ancaman terhadap manusia tidak boleh diketepikan begitu sahaja hanya kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Malaysia telah memperkenalkan beberapa inisiatif berkaitan pengurusan plastik. Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 menggariskan pendekatan berperingkat untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, memperkenalkan alternatif mesra alam dan meningkatkan kesedaran awam. Selain itu, Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 menetapkan sasaran untuk memperkukuh sistem kitar semula, memperbaiki pengumpulan data serta mengurangkan kebocoran plastik ke alam sekitar. Kedua-dua pelan ini selari dengan prinsip ekonomi kitaran yang menekankan penggunaan sumber secara cekap dan berterusan.
Namun, keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya bergantung pada perancangan di atas kertas. Ia bergantung kepada tahap pelaksanaan, penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak. Walaupun terdapat komitmen dari segi dasar, Malaysia masih berdepan beberapa cabaran struktur. Antaranya termasuk kadar kitar semula yang masih rendah berbanding jumlah sisa plastik yang dihasilkan, kekangan infrastruktur pengurusan sisa serta kos alternatif biodegradasi yang lebih tinggi.
Penyelarasan antara agensi dan peringkat tadbir urus juga perlu diperkukuh agar dasar yang dirangka dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Pada masa yang sama, tahap kesedaran awam juga tidak sekata, khususnya di kawasan luar bandar.
Tanpa kefahaman yang jelas tentang bagaimana mikroplastik terbentuk dan memasuki rantaian makanan, sukar untuk memperoleh sokongan menyeluruh daripada masyarakat. Hal ini termasuklah sokongan terhadap perubahan tingkah laku seperti mengurangkan penggunaan plastik dan mengasingkan sisa buangan di puncanya, misalnya di rumah.
Cabaran ini menunjukkan bahawa walaupun sains telah memberikan amaran yang jelas, penterjemahan penemuan saintifik kepada tindakan dasar yang efektif memerlukan usaha bersepadu dan berterusan.
Dalam menangani isu ini secara menyeluruh, beberapa langkah strategik wajar dilaksanakan, antaranya memperkasakan Skim Tanggungjawab Pengeluar (EPR). Langkah ini penting agar pengeluar bertanggungjawab terhadap keseluruhan kitar hayat produk plastik yang dihasilkan, bermula daripada reka bentuk hingga pelupusan. Selain itu, pelaburan dalam menaik taraf sistem rawatan air dan kumbahan juga adalah perlu bagi memastikan ia berupaya menapis zarah mikroplastik dengan lebih efektif.
Kempen pendidikan kepada komuniti awam pula perlu dirangka dalam bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat. Apabila masyarakat menyedari bahawa pencemaran plastik bukan sekadar isu kebersihan persekitaran, tetapi berpotensi menjejaskan kesihatan mereka, sokongan terhadap dasar akan meningkat secara semula jadi.
Isu mikroplastik mengubah cara kita mentafsir pencemaran. Jika sebelum ini kita menilai tahap kebersihan berdasarkan apa yang dapat dilihat — air yang jernih atau pantai yang bersih — namun kini kita perlu memahami bahawa ancaman sebenar mungkin tersembunyi di sebalik penampilan tersebut.
Kesedaran ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam cara kita mengurus sisa dan menggunakan plastik. Pembangunan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat. Pencemaran mikroplastik merupakan antara cabaran alam sekitar yang semakin mendesak ketika Malaysia bergerak ke arah pembangunan lestari. Ia melibatkan dimensi alam sekitar, ekonomi dan kesihatan secara serentak.
Menangani isu ini memerlukan kerjasama erat antara penyelidik, pembuat dasar, industri dan masyarakat. Pengurusan mikroplastik perlu dimasukkan dalam perancangan jangka panjang berkaitan keselamatan air, pengurusan sisa dan perlindungan kesihatan awam.
Jika kita tidak bertindak sekarang, persoalan “adakah kita sedang memakan plastik tanpa disedari?”, mungkin tidak lagi sekadar persoalan tetapi satu kenyataan yang terpaksa kita hadapi.


Najihah Farhana Muhammad Hasbi dan Dr. Suzana Ariff Azizan adalah dari Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya
