Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry
Dewasa ini, AI kian meniti dari bibir ke bibir umat pengguna teknologi. Malah, dunia pendidikan juga tidak terkecuali. Maka, teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) ini sedang rancak mengubah dimensi pengajaran dan pembelajaran di seluruh dunia. Begitu juga di Malaysia, bakal pendidik atau guru pra-perkhidmatan sedang melangkah ke dalam bilik darjah, bukan sekadar mengaplikasikan teknologi baharu, bahkan menghadapi cabaran baharu dalam dunia pendidikan. Dengan kecanggihan teknologi AI seperti ejen perbualan ChatGPT, sistem pembelajaran adaptif dan perisian perancangan pintar, bakal pendidik atau guru pelatih pada masa ini bukan sekadar belajar cara untuk mengajar malahan belajar bagaimana mengajar dengan menggunakan AI.

Datangnya AI ini sebenarnya umpama bunga yang harum ada durinya. Rata-rata penyelidikan cenderung menjelaskan bahawa transformasi ini mengundang pelbagai kebaikan. Tetapi, pada masa yang sama, ia juga boleh menjerat para penggunanya. Walaupun AI boleh meningkatkan produktiviti, menyesuaikan pembelajaran dengan kemahuan atau kriteria seseorang dan mengurangkan bebanan kerja seharian, tetapi impaknya terhadap kesahihan data, penggunaan secara beretika mahupun berilmiah dan hubungan antara guru dan pelajar perlu diambil kira juga.
Dalam alam pendidikan, kemunculan AI tujuannya adalah untuk membantu, bukan sama sekali untuk menggantikan guru. Prinsip ini dipersetujui oleh para pakar daripada Institut Kecerdasan Buatan Berpusatkan Manusia, Universiti Stanford yang mengkaji bagaimana kecanggihan AI boleh melahirkan golongan pendidik yang hebat. Ternyata, jantung hati pendidikan itu masih tetap kepunyaan manusia, kepunyaan kita, bukan kepunyaan AI.
AI diadaptasi dalam latihan guru
Sejak kebelakangan ini, institusi pendidikan guru di Malaysia telah mengintegrasikan teknologi AI dalam kurikulum mereka, terutamanya melalui platform seperti ChatGPT. Pada tahun lepas, satu kajian dilakukan untuk meninjau persepsi guru-guru pelatih berkenaan penggunaan platform ChatGPT dalam pembelajaran mereka. Seramai 41 responden dipilih dalam kajian ini dan tinjauan mendapati guru-guru pelatih menggunakan ChatGPT dengan kerap (dengan skor 4.11 daripada 5) dan mereka berpendapat bahawa ChatGPT ini memberi manfaat yang banyak kepada mereka (dengan skor 4.19 daripada 5).
Walau bagaimanapun, kajian ini turut mendedahkan sisi ChatGPT yang berbeza, yang tidak boleh dipandang enteng. Sememangnya, guru-guru pelatih ini bersetuju bahawa ChatGPT menolong mereka untuk menghasilkan rancangan pembelajaran, menjana isi kandungan bahkan membantu dari segi penguasaan bahasa, tetapi mereka turut menyatakan kebimbangan terhadap kebolehpercayaan maklumat yang diberi oleh platform ini. Seperti yang digembar-gemburkan, AI generatif masih lagi ada kelemahan, iaitu halusinasi AI atau penjanaan fakta palsu yang kelihatan benar dan guru-guru pelatih ini menyokong situasi ini (dengan skor 3.56 daripada 5).
Daripada kajian ini, konklusinya, dengan panduan yang betul lagi lengkap, AI boleh menjadi guru kedua yang bermakna, bukan sekadar bergantung sahaja secara total.
Penggunaan AI secara praktikal dalam kelas
Tidak dinafikan, para guru di Malaysia sekarang, sama ada guru pelatih mahupun yang sedang berkhidmat, sedang menguji keberkesanan AI secara praktikal. Ada yang menggunakannya untuk mencari contoh-contoh rancangan pembelajaran, menjana soalan-soalan pentaksiran, menerangkan konsep yang sukar difahami dan juga membaiki tatabahasa dalam kerja penulisan para pelajar. Misalnya, bagi program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), guru-guru pelatih sering menggunakan aplikasi AI untuk menghasilkan dialog, menulis teks mengikut tahap kecekapan yang berbeza dan juga mencari frasa-frasa alternatif atau tambahan.
Pada tahun lepas, 2024, satu kajian berkenaan tahap Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi Cerdas (I-TPACK) guru-guru pelatih dan persepsi mereka terhadap aplikasi AI generatif telah dijalankan oleh para penyelidik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Taylor’s University. Seramai 190 pelajar TESL telah menyertai kajian ini dan hasilnya membuktikan bahawa guru-guru pelatih TESL ini mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang kandungan dan teknik, tetapi mereka masih berasa susah untuk mengaplikasikan AI dalam sesi pembelajaran secara pedagogi.
Jelaslah di sini masih terdapat jurang penyelidikan antara latihan guru dan AI. Justeru itu, kajian terhadap latihan praktikal para guru pelatih perlu dilakukan, bukan sahaja menekankan bagaimana AI boleh digunakan, malah bagaimana guru-guru mengajar menggunakan AI secara berkesan.
Cabaran penggunaan AI dalam Pendidikan
Walau serancak mana AI melebarkan sayapnya dalam dunia pendidikan, cabarannya perlu diberi perhatian juga. Antaranya ialah isu kemudahan di mana ia dilihat masih tidak sekata, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih sukar untuk mendapatkan akses kepada internet. Kebanyakan guru bersetuju bahawa mereka tiada capaian konsisten kepada peranti yang bagus dan juga kemudahan internet.
Di samping itu, masih ramai warga pendidik yang belum didedahkan dengan latihan berkenaan penggunaan AI dalam sesi pengajaran mereka. Tanpa latihan yang cukup, mereka akan bergelut dengan kecanggihan teknologi di dalam bilik darjah. Menurut seorang pakar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, para pendidik haruslah mempunyai kefahaman yang tinggi untuk mengintegrasikan teknologi supaya isi kandungan sesuatu topik itu dapat disampaikan dengan betul dan jelas kepada para pelajar.
Selain daripada dua isu di atas, penggunaan teknologi AI secara beretika perlu turut dititikberatkan dalam dunia pendidikan. Seperti yang kita sedia maklum, maklumat atau kandungan yang disampaikan oleh AI mencetuskan kerisauan dalam integriti akademik. Misalnya, aplikasi Turnitin melaporkan terdapat kenaikan sebanyak 11% karya yang dikenalpasti menggunakan teks ciptaan AI semenjak tahun 2023. Sementara itu, segelintir ahli sarjana dalam bidang pendidikan sama ada tempatan mahupun luar negara melahirkan kebimbangan terhadap ketidaksamarataan algoritma dan privasi pelajar semasa guru-guru menggunakan AI dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka.
Peranan guru tidak boleh diganti
Apabila topik AI dalam pendidikan dibincangkan, risiko pengurangan watak manusia sebagai guru turut mendapat perhatian yang serius. Walaupun AI boleh mengautomasikan tugas seharian sebagai seorang guru atau meningkatkan mutu pembelajaran, ia bagaimanapun tidak dapat meniru rasa empati, usaha membimbing, nilai moral yang tinggi atau apa sahaja kriteria yang mentakrifkan seorang guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga menyokong prinsip ini, di mana beliau menekankan bahawa teknologi tidak akan menggantikan peranan seorang guru walaupun ia semakin berkembang maju. Dalam erti kata lain, kedudukan guru-guru mesti kekal sebagai titik tengah dalam proses pembelajaran dan hadirnya AI berfungsi sebagai pengukuh suara pendidik, bukan pengganti kepada pendidik.
Begitu juga dengan pakar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau menjelaskan bahawa kedatangan teknologi AI adalah untuk menyokong peranan tradisional seorang guru, bukan cuba untuk menggantikan para guru. Perlu direnungkan juga, jika pemegang taruh dalam sesebuah kelas terlalu bergantung kepada AI, ia secara tidak langsung boleh menghakis interaksi dan juga hubungan emosi sesama mereka. Semenjak dahulu, umum mengetahui, silaturahim yang bersandarkan rasa empati yang kuat mewujudkan impak yang besar dalam bilik darjah, malah lebih lagi daripada mana-mana model AI yang berorientasikan peribadi atau individu.
Perancangan semasa
Teknologi AI sedang rancak menyelusuri kehidupan kita. Oleh itu, penerapan literasi AI dalam pendidikan dilihat sangat penting dilakukan dengan kadar segera di negara kita. Di bawah usaha Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), guru-guru pra-perkhidmatan dan juga yang sedang berkhidmat telah diletakkan sebagai kelompok utama bagi latihan dan pembangunan sumber manusia masa depan.
Terbaru, syarikat gergasi Google telah memperuntukkan RM9.4 bilion sebagai pelaburan dalam kemudahan digital di Malaysia. Projek besar ini menjanjikan usaha untuk menaik taraf capaian kepada aplikasi pengkomputeran termasuk penganjuran program literasi AI, khas untuk para pelajar dan pendidik. Namun begitu, pelaksanaannya haruslah diperhalusi sebaiknya dan juga bersifat inklusif.
Di peringkat global, para pakar pendidikan menganjurkan penggunaan yang seimbang antara aplikasi AI dan pengajaran oleh guru manusia. Tamsilnya, Lori Gracey, Pengarah Eksekutif daripada Persatuan Pendidikan Komputer Texas mengingatkan guru-guru sewajarnya menumpukan perhatian kepada pembelajaran pelajar dan kualiti pedagogi mereka, sementara itu, teknologi hanya hadir sebagai watak sampingan dalam sesi pengajaran sesebuah kelas.
Hala tuju masa depan
Bagi bakal pendidik, masa depan teknologi AI kelihatan menarik dan menyeronokkan. Di sebaliknya, wujud juga ketidakpastian yang mungkin mencabar jiwa pendidik. Kita sedar teknologi AI berkembang pantas, begitu juga hasrat semua pemegang taruh, mereka menaruh harapan tinggi. Justeru itu, jika semua pihak seperti universiti, kerajaan dan sektor swasta saling menyokong, saling berganding bahu, guru-guru pelatih ini bukan sahaja boleh menjadi pengguna digital yang bijak, malah mereka boleh menjadi pemimpin digital masa depan bagi negara Malaysia yang kita sayangi.
Akhir kata, seorang guru itu boleh menjadi luar biasa, sama hebatnya seperti teknologi yang digunapakai dalam kelas. Sesungguhnya, AI tidak dapat, tidak mungkin boleh menggantikan guru-guru, tetapi guru-guru yang menggunakan AI secara bijak mungkin boleh menggantikan para guru yang tidak menggunakannya.

Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.