Kuala Lumpur, 03 Mac 2026 – Setiap tahun, trader akan bertanya soalan yang sama: adakah pasaran kewangan menunjukkan corak berbeza sepanjang bulan Ramadan? Walaupun banyak rutin harian individu mungkin berubah, pasaran kewangan global tetap digerakkan oleh faktor yang sama seperti bulan-bulan lain. Volatiliti, trend, dan pergerakan harga tidak ditentukan kalendar, tetapi oleh peristiwa makroekonomi, keadaan kewangan, dan perkembangan geopolitik yang membentuk pasaran sepanjang tahun.
Apakah yang Benar-benar Menggerakkan Pasaran Kewangan
Pasaran kewangan dipengaruhi oleh aliran modal, jangkaan ekonomi, dan sentimen risiko. Faktor-faktor ini sentiasa mempengaruhi tidak kira musim atau perayaan serantau. Pemacu utama adalah:
1. Dasar Bank Pusat
Kadar faedah, hala tuju dasar, dan pengurusan likuiditi oleh bank pusat seperti Rizab Persekutuan (Fed), Bank Pusat Eropah, Bank of England, dan Bank of Japan merupakan antara penggerak paling berpengaruh dalam pasaran.
Jangkaan kadar memberi kesan kepada:
- Kadar tukaran wang
- Harga emas dan komoditi
- Harga pasaran saham
Satu kenyataan daripada satu bank pusat sahaja mampu menggerakkan pasaran dalam masa sejam, sesuatu yang biasanya mengambil masa berminggu-minggu dalam keadaan biasa.
2. Data Inflasi dan Pekerjaan
Indikator makroekonomi seperti indeks harga pengguna (inflasi), kadar pertumbuhan KDNK, dan laporan pasaran buruh secara langsung mempengaruhi jangkaan pelabur serta pemain utama pasaran terhadap dasar monetari dan keadaan ekonomi. Laporan-laporan ini menjadi pecetus utama volatiliti dalam mata wang, indeks, dan komoditi di pasaran global.
Sebagai contoh, data inflasi yang lebih kukuh boleh mendorong kenaikan pulangan bon dan mengukuhkan mata wang, sebaliknya data pekerjaan yang lemah berpotensi mencetuskan aliran keluar modal kepada aset selamat (safe-haven) atau pelaburan alternatif.
3. Perolehan Syarikat dan Aktiviti Perniagaan
Pasaran saham sangat dipengaruhi oleh prestasi syarikat. Keuntungan suku tahunan, ramalan pendapatan, inovasi produk, dan prospek pembangunan dalam pelbagai sektor ekonomi mempengaruhi sentimen pelabur serta pergerakan indeks. Keuntungan syarikat teknologi boleh memberi kesan besar terhadap indeks saham global, sementara prestasi syarikat komoditi pula boleh mempengaruhi pasaran tenaga dan logam, serta portfolio jangka sederhana pemain utama.
4. Peristiwa Geopolitik
Peperangan, pertikaian dagangan, sekatan, dan ketidakstabilan politik boleh mencetuskan perubahan mendadak dalam sentimen risiko dan mencetuskan lonjakan volatiliti sekitar peristiwa penting. Situasi sebegini berpotensi menyebabkan turun naik mengejut dalam harga minyak, permintaan emas, dan mata wang selamat seperti dolar AS, franc Switzerland, atau Yen Jepun. Kesan geopolitik sering lebih dominan berbanding faktor bermusim dan menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi pasaran dan instrumen dagangan yang paling sukar dijangka.
5. Bekalan dan Permintaan Komoditi
Pasaran tenaga dan logam bergantung secara langsung kepada faktor bekalan dan permintaan fizikal. Sebarang gangguan dalam pengeluaran, peristiwa berkaitan cuaca, tahap inventori, serta pengumuman daripada OPEC biasanya memberi kesan secara langsung dan serta-merta terhadap harga minyak dan gas asli. Sementara itu, logam berharga, seperti emas dan perak sangat dipengaruhi oleh jangkaan inflasi dan juga perubahan kadar faedah sebenar.
6. Likuiditi Global dan Aliran Institusi
Institusi kewangan, dana lindung nilai, dana persaraan, dan dana kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) menguruskan jumlah dana yang sangat besar setiap hari. Agihan pelaburan institusi ini dibuat berdasarkan perspektif makroekonomi, pertimbangan risiko, dan keperluan pengimbangan semula, bukan mengikut kalendar serantau. Dana sebegini memainkan peranan penting untuk mengekalkan likuiditi dan kestabilan harga di semua pasaran.
Mengapa Ramadan Tidak Membentuk Semula Pasaran Global
Aktiviti dagangan di sesetengah pasaran tempatan mungkin perlahan sedikit disebabkan sesi dagangan yang lebih singkat. Namun, pasaran global seperti forex, komoditi, dan indeks pasaran beroperasi merentasi pelbagai zon masa, menarik pelabur institusi dan runcit dari seluruh negara. Kepelbagaian struktur ini memastikan tiada perubahan ketara dalam dinamik keseluruhan pasaran atau likuiditi berkurangan dengan ketara hanya kerana kelembapan bermusim di sesebuah rantau.
Volatiliti, pembentukan trend, dan likuiditi kekal dipengaruhi oleh peristiwa ekonomi serta sentimen risiko global, bukan berpunca daripada musim perayaan atau cuti keagamaan.
Trader Mungkin Bertukar, Tetapi Struktur Pasaran Tidak Berubah
Apa yang berubah bukan pasaran, tetapi rutin trader. Apa yang sering berubah bukan pasaran, tetapi rutin trader itu sendiri. Waktu tidur yang berbeza, tahap tenaga, dan fokus boleh mempengaruhi keupayaan membuat keputusan. Perubahan ini kadangkala memberi gambaran seolah-olah reaksi pasaran berbeza, sedangkan hakikatnya corak penglibatan trader yang telah berubah. Penting untuk trader membezakan antara kedua-dua aspek ini. Untuk menjadi seorang trader yang berjaya, disiplin individu perlu disesuaikan dengan pasaran, bukan sebaliknya.
Kesimpulan yang Jelas dan Berpandukan Data
Pasaran global tidak menjadi “perlahan” atau “berkelakuan berbeza” semata-mata kerana bulan Ramadan atau cuti kebangsaan yang lain. Pergerakan harga aset dagangan terus mencerminkan jangkaan kadar faedah, data ekonomi, prestasi korporat, risiko geopolitik, dan aliran modal global.
Bagi trader, mesejnya mudah: fokus pada faktor sebenar yang mempengaruhi pasaran dan lakukan analisis yang jelas sebelum membuat keputusan. Pantau peristiwa makroekonomi, kawal risiko dengan teliti, dan sesuaikan strategi apabila perlu, tetapi berpandukan data, bukan sekadar andaian atau peristiwa yang belum berlaku.
Trader perlu mendekati pasaran dengan cara pemikiran analitikal, memahami bahawa sistem kewangan global digerakkan oleh kuasa ekonomi yang jauh melangkaui corak bermusim atau serantau.
