Ditulis oleh : Rozak Hadi
PASIR GUDANG – Semangat kebersamaan dan budaya berkongsi jelas terserlah apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai menganjurkan Iftar Jamaie bersempena Ramadan. Tidak hanya itu, warga pendidik PPKI juga turut bersama bergotong royong memasak bubur lambuk yang akan diagihkan kepada pelajar dan warga sekolah.
Program yang dianjurkan pada setiap tahun sentiasa mendapat sambutan menggalakkan apabila melibatkan penyertaan aktif pelajar, guru serta kakitangan sekolah.
Seawal pagi, warga pendidik bergotong-royong menyediakan bubur lambuk dengan melakukan pelbagai tugasan termasuk memotong bahan, memasak serta membungkus juadah berkenaan sebelum diagihkan kepada warga sekolah dan komuniti sekitar.
Selain daripada itu, turut diadakan juga Program Penghayatan Nilai dan Jati Diri yang melibatkan murid berkeperluan pendidikan khas yang berlangsung di Surau SMK Kota Masai.
Penolong Kanan Pendidikan Khas, Khushaini Mohamed Razali berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memupuk nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan pelajar dan guru.
“Program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi Ramadan, malah memberi peluang kepada pelajar untuk menghayati nilai kebersamaan dan amalan bersedekah,” katanya.
Menjelang waktu petang, program diteruskan dengan majlis iftar jamaie yang menghimpunkan warga sekolah dalam suasana penuh harmoni dan kesyukuran.
Sebelum berbuka puasa, satu tazkirah ringkas disampaikan oleh Ustaz Syahmi Wahiduddin , Pegawai Hal Ehwal Islam Pentafsir al-Quran, Pejabat Kadi Segamat, Johor bagi mengingatkan pelajar tentang kepentingan kesederhanaan dan keikhlasan dalam beribadah sepanjang bulan Ramadan serta berlumba-lumba untuk meraih malam lailatul Qadr.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,Ustaz Mohd Helmi Ahsain menyatakan bahawa, pengalaman program ini memberi peluang kepada pelajar untuk lebih menghargai erti kebersamaan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga sekolah
“SMK Kota Masai akan sentiasa membuka ruang kebersamaan supaya program-program seperti ini dapat memberi impak yang besar dalam diri pelajar dan membawa nilai mahmudah dalam diri mereka,” katanya.
Majlis kemudian diteruskan dengan solat terawih berjemaah yang menambahkan lagi penghayatan Ramadan dalam kalangan warga sekolah. Turut hadir bersama, Barisan Tertinggi PIBG SMK Kota Masai, En Gahis Ahmad dan En Shafie Daud.
Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen SMK Kota Masai dalam memperkasa aktiviti yang memupuk kebersamaan serta menyemai nilai keindahan akhlak, sekali gus membentuk jati diri pelajar yang cemerlang dan holistik.




Gambar Kebersamaan Warga Sekolah dalam Majlis Iftar Jamaie
