Oleh Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya
Di bawah lensa mikroskop, dunia yang tidak terlihat oleh mata kasar mendedahkan rahsia paling fundamental tentang kewujudan kita. Izinkan saya berkongsi satu naratif di makmal: dalam sebuah piring kultur, terdapat satu sel yang hidup secara terasing. Walaupun sel itu berupaya menjalankan fungsi metabolisme asas, pertumbuhannya didapati sangat lembap dan statik.
Namun, perhatikan interaksi kolaboratif dalam piring kultur yang mempunyai koloni sel yang padat. Sel-sel ini berkembang biak dengan kepantasan luar biasa sehingga memenuhi segenap ruang. Secara saintifik, sel bukan sekadar memerlukan input fizikal seperti nutrien, serum, dan growth factor. Elemen yang jauh lebih kritikal adalah komunikasi antara sel (cellular communication). Penemuan ini membuktikan bahawa biologi sel bukan sekadar disiplin sains, tetapi merupakan model masyarakat yang telah diisyaratkan oleh Allah SWT melalui sistem biologi kita sendiri.
Komunikasi selular: nadi kekuatan masyarakat
Isyarat antara sel merupakan nadi yang mengawal pertumbuhan, pembaikan tisu, dan regenerasi organ. Tanpa isyarat ini, regenerasi mustahil berlaku. Fenomena ini mencerminkan hakikat ukhuwah; walaupun secara individu kita mampu bertahan, potensi optimum dan kekuatan hakiki hanya akan tercapai apabila kita bergerak dalam satu rangkaian kerjasama yang harmoni.
Perspektif ini selari dengan hikmah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 13 yang menegaskan bahawa manusia diciptakan berbangsa dan bersuku untuk “saling mengenali” (li ta’arafu). Dalam ekosistem tubuh, kepelbagaian sel—daripada sel saraf yang kompleks ke sel otot yang kental, sel darah yang dinamik, serta sel epitelium yang melindungi—mempunyai identiti berbeza namun tunduk kepada satu fungsi biologi yang terancang (orchestrated biological function). Kepelbagaian ini bukan untuk persaingan, sebaliknya untuk saling melengkapi demi kelangsungan hidup organisma secara total.
Homeostasis dan ummatan wasatan, sebuah keseimbangan dinamik
Dalam biologi, kelangsungan hidup bergantung kepada ‘Homeostasis’, iaitu pemeliharaan kestabilan dalaman secara aktif meskipun berhadapan dengan perubahan persekitaran luaran yang drastik. Homeostasis bukanlah satu keadaan statik, melainkan usaha dinamik yang berterusan—sama seperti konsep ‘Ummatan Wasatan’ (umat pertengahan/seimbang) dalam Surah Al-Baqarah Ayat 143 yang menuntut kesiapsiagaan sosial untuk mengekalkan keadilan dan keseimbangan di tengah-tengah ekstremisme.
Kekuatan kolektif ini turut diperlihatkan oleh microbiome, iaitu masyarakat kecil trilion bakteria dalam usus kita. Hubungan simbiosis ini membuktikan bahawa kita tidak pernah benar-benar hidup sebagai “individu” yang mutlak; sebaliknya, tubuh kita adalah sebuah kolaborasi agung antara pelbagai entiti. Sebagaimana gangguan kepada keseimbangan mikrob membawa penyakit, begitu juga gangguan kepada kohesi sosial yang akan meruntuhkan kestabilan sistem masyarakat secara keseluruhan.
Analogi struktur: disiplin, tanggungjawab, dan zakat
Islam mengukuhkan struktur masyarakat melalui disiplin solat berjemaah, di mana peranan imam, bilal, dan makmum menggambarkan organisasi selular yang sempurna. Setiap unit mempunyai fungsi khusus tetapi patuh kepada sistem komunikasi yang lebih besar. Sebagaimana makmum tidak mendahului imam namun bersedia menggantikannya, setiap sel dalam tisu bertindak mengikut hierarki isyarat demi keselamatan organisma.
Hubungan ini diperkukuhkan lagi melalui mekanisme zakat dan tanggungjawab sosial. Dalam biologi, ini menyerupai pengaliran nutrien dan isyarat kelangsungan hidup yang diedarkan secara adil kepada setiap sel yang memerlukan. Kesihatan masyarakat, sebagaimana kesihatan tubuh, bergantung kepada kesediaan setiap komponen untuk memikul tanggungjawab bersama dan memastikan tiada bahagian yang terpinggir daripada menerima “nutrien” kehidupan.
Ancaman individualisme: peringatan daripada sel kanser
Ancaman terbesar kepada kelestarian sistem biologi ialah sel kanser. Kanser bermula apabila sel menjadi “individualistik”—ia berhenti berkomunikasi dengan sistem, mengabaikan isyarat kawalan, dan membiak secara agresif demi kepentingan diri sendiri. Sifat mementingkan diri ini adalah pengkhianatan kepada falsafah biologi, yang akhirnya membawa kepada kemusnahan seluruh sistem tubuh yang asalnya sihat.
Keadaan ini merupakan peringatan keras tentang bahaya “sel kanser sosial” dalam masyarakat, iaitu individu yang hanya hidup untuk kepentingan peribadi tanpa empati. Rasulullah SAW telah menggambarkan perumpamaan orang mukmin seperti “satu tubuh” melalui hadis Baginda; apabila satu bahagian sakit, seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasai demam dan tidak dapat tidur. Kegagalan merasai kesakitan orang lain adalah isyarat awal kepada keruntuhan peradaban.
Rakyat Malaysia pelbagai bangsa adalah kekuatan perpaduan, bukan asas perpecahan
Hikmah biologi sel memberikan pengajaran mendalam bagi masyarakat majmuk di Malaysia, di mana kepelbagaian latar belakang bukanlah punca perpecahan, tetapi syarat kepada kekuatan sistem yang utuh. Sebagaimana tubuh manusia yang terdiri daripada ratusan jenis sel berbeza seperti sel saraf, otot, dan darah yang bekerja secara harmoni dalam satu fungsi biologi yang teratur demi kelangsungan hidup tubuh manusia, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa juga perlu saling mengenali dan melengkapi untuk mencapai kesejahteraan bersama.
Sains membuktikan bahawa sel yang hidup bersama dan berkomunikasi berkembang dengan lebih pesat berbanding sel yang hidup bersendirian, menunjukkan bahawa kehidupan yang kuat tidak dibina oleh kehebatan individu atau kelompok secara terasing, tetapi oleh sistem yang saling menyokong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama, asalkan ianya berpaksikan kepada sebuah Negara Bangsa Malaysia.
Dengan mengamalkan prinsip keseimbangan serta menjauhi sifat mementingkan diri yang diibaratkan sebagai “sel kanser”, kita dapat memastikan masyarakat majmuk di negara ini berfungsi seumpama satu tubuh yang sihat di mana kesakitan satu bahagian dirasai oleh semua, dan setiap perbezaan menyumbang kepada keutuhan negara secara kolektif.
Refleksi akhir: menjadi ‘stem cell sosial’
Dalam sains regeneratif, terdapat sel istimewa yang dikenali sebagai Stem Cell (Sel Stem). Ia didefinisikan melalui dua ciri unik: Self-renewal (mengekalkan identiti dan nilai teras) serta Differentiation (berupaya menghasilkan generasi sel baharu yang berfungsi). Apabila berlaku kerosakan, sel stem inilah yang tampil memulihkan fungsi organ.
Di dalam masyarakat, peranan “Stem Cell Sosial” ini digalas oleh ibu bapa, guru, ulama, dan pemimpin. Mereka mempraktikkan Self-renewal dengan memelihara warisan jati diri, nilai dan tauhid, sebagaimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam Surah Luqman yang menekankan aspek akidah dan akhlak sebagai akar identiti.
Pada masa yang sama, melalui Differentiation, mereka membina dan mencorakkan generasi masa hadapan yang pelbagai bakatnya. Ini jelas membuktikan bahawa sel mengajar kita sehebat manapun kita berupaya membentuk kekuatan dalam kerjaya yang menyumbang kepada kejayaan individu, masyarakat dan negara, kita masih berbangga dan berupaya mengekalkan identiti kaum dan bangsa yang menjadi susur galur kebanggaan kita.
Melalui madrasah Ramadan, kita sebenarnya dilatih untuk menjadi ejen pemulihan ini. Jika kita melihat tubuh manusia dengan “Mata Sains”, kita akan kagum dengan kehebatan sistem biologi. Namun, jika kita melihat dengan “Mata Iman”, kita akan menyedari bahawa Allah sedang mengajar kita tentang hakikat kehidupan: bahawa kehidupan yang kuat tidak dibina oleh individu yang hebat secara sendirian, tetapi oleh masyarakat yang saling menyokong, saling memperbaiki, dan saling menguatkan antara satu sama lain.

Prof. Dr. Badrul Hisham Yahaya ialah Profesor di Jabatan Sains Bioperubatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia
