Oleh Dr. Mohammaddin Abdul Niri
Setiap kali menjelang penghujung Ramadan, istilah raya mengejut sering kembali menjadi perbualan masyarakat. Ia berlaku apabila permulaan Hari Raya Aidilfitri dalam kalendar Hijri berlaku lebih awal berbanding tarikh yang telah dijadualkan selepas sahaja pengumuman dibuat pada malam 29 Ramadan.
Ada yang menyatakan rasa terkejut, kelam-kabut membuat persiapan, bahkan ada yang mempersoalkan keadaan tersebut. Namun persoalan yang lebih mendalam seharusnya kita muhasabahkan ialah, benarkah Hari Raya itu mengejut, atau sebenarnya diri kita yang tidak bersedia?
Dalam syariat Islam, tempoh Ramadan sememangnya boleh berakhir sama ada pada hari ke-29 atau ke-30 bergantung kepada penentuan anak bulan pada hari merukyah hilal. Hal ini bukanlah perkara baharu dan ia telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa tempoh bulan dalam Islam sememangnya tidak tetap dan kemungkinan Ramadan berakhir pada hari ke-29 adalah sesuatu yang sudah berlaku sejak awal.
Secara asasnya, dalam penentuan awal bulan hijrah, terutamanya bulan Ramadan, Syawal, dan Zulhijah, terdapat tiga kaedah yang berbeza. Pertama, kaedah rukyah iaitu mencerap anak bulan. Kedua, kaedah hisab falak iaitu kiraan astronomi. Ketiga, gabungan kaedah rukyah dan hisab. Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada Kriteria Imkanur Rukyah.
Berasaskan kriteria ini, anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya memenuhi syarat iaitu nilai altitud atau ketinggian bulan di atas ufuk barat tidak kurang daripada 3 darjah, dan nilai sudut elongasi iaitu jarak lengkung bulan–matahari tidak kurang daripada 6.4 darjah ketika matahari terbenam. Berdasarkan hitungan falak dalam taqwim 1447H, fasa ijtimak telah berlaku sebelum matahari terbenam pada 29 Ramadan, namun kedudukan anak bulan dikira tidak memenuhi syarat Kriteria Imkanur Rukyah. Maka, secara hisab Ramadan digenapkan kepada 30 hari dan 1 Syawal adalah pada 21 Mac 2026. Bagaimanapun, hitungan falak terbabit tertakluk kepada pengisytiharan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Oleh itu, adalah penting bagi seorang Muslim memahami prinsip kemungkinan (imkan) dalam penentuan anak bulan. Apabila fasa ijtimak bulan telah berlaku sebelum matahari terbenam pada hari merukyah anak bulan, kebarangkalian Syawal bermula pada keesokan harinya hakikatnya sentiasa wujud walaupun kedudukan bulan mungkin adalah rendah atau tidak memenuhi syarat kenampakan.
Sebaliknya, sekiranya fasa ijtimak berlaku selepas matahari terbenam, maka pada ketika itu anak bulan sudah tentu masih belum wujud dan barulah sesuai ditetapkan sebagai mustahil berlaku kenampakan anak bulan.
Jauh lebih mustahak, malam 29 Ramadan yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim harus menjadi saat penentuan yang sudah ada persediaan rapi agar tidak timbul lagi isu raya mengejut. Bagi Muslim yang berfikir secara strategik dan berperancangan, keperluan asas berkaitan sambutan hari raya sudah tentu diurus lebih awal, khususnya apabila memasuki hari-hari terakhir Ramadan. Pelbagai urusan keluarga, perjalanan atau keperluan lain sudah diatur dengan baik.
Dengan adanya persediaan itu, sekiranya keesokan harinya diumumkan sebagai Hari Raya Aidilfitri, maka keadaan tersebut tidak menimbulkan kekalutan kerana persiapan telah dibuat lebih awal. Adapun jika Ramadan digenapkan menjadi 30 hari, maka hari tambahan itu dilihat sebagai peluang terakhir untuk memperbanyakkan lagi amal ibadah dan amalan soleh.
Untuk itu, penulis mengajak para pembaca agar pada hari-hari akhir Ramadan ini kita tingkatkan amal ibadah dan amalan soleh seperti solat malam, berdoa, berzikir dan bermuhasabah diri. Dalam hal ini, fokus utama bukan sekadar menanti kedatangan Syawal, tetapi memastikan bahawa Ramadan ditutup dengan amalan yang terbaik dan sepuluh malam terakhir diisi sebaiknya dengan kesungguhan beribadah serta beramal soleh.
Sikap generasi sahabat Nabi SAW dan para salafussoleh harus kita teladani dan ikuti. Mereka tidak terburu-buru menyambut Syawal atau lalai dengan persiapan dunia ketika Ramadan hampir berakhir. Bahkan mereka semakin bersungguh-sungguh meningkatkan ibadah pada sepuluh malam terakhir serta berusaha meraih Lailatul Qadar. Mereka juga berasa sedih apabila Ramadan pergi kerana menyedari bahawa bulan tersebut adalah peluang besar untuk memperoleh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada azab.
Kita seharusnya mencontohi sikap tersebut dan manfaatkan hari-hari penghujung Ramadan ini dengan ibadah, muhasabah serta berdoa agar segala amalan diterima oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, persiapan menyambut Syawal turut kita lakukan dengan bersederhana dan bersyukur.
Selain itu, polemik raya mengejut ini juga harus memberikan satu kontemplasi terhadap persediaan diri dan bagaimana kita menjadikan Ramadan sebagai pemangkin kepada anjakan sikap dan paradigma. Kita sebagai Muslim perlu berhijrah daripada sikap reaktif, emosional serta tiada persediaan kepada sikap yang lebih matang dan berperancangan dalam menjalani ibadah serta kehidupan seharian.
Budaya hidup berperancangan bukan sahaja penting dalam urusan dunia, tetapi juga dalam urusan ibadah. Apabila seorang Muslim membiasakan diri merancang ibadah dan kehidupannya, dia akan lebih menghargai masa, lebih konsisten dalam beribadah dan amalan soleh, serta memiliki kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang perubahan dan cabaran.
Peri pentingnya persediaan dan perancangan dalam kehidupan Muslim ini telah ditekankan dalam Al-Quran sendiri. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). (Surah al-Hasyr, 59:18)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa betapa seorang Muslim seharusnya menjalani kehidupan dengan persediaan dan perancangan untuk hari kemudian. Setiap tindakan yang diambil dalam menunaikan tanggungjawab terhadap diri dan ibadah harus disertai dengan kesedaran terhadap masa depan. Perancangan yang baik sudah tentu diiringi dengan doa, usaha dan tawakkal.
Dalam konteks Ramadan, perancangan ibadah amat penting supaya bulan yang mulia ini tidak dilalui secara sambil lewa. Muslim yang berfikiran strategik akan menekuni ibadah puasa dalam Ramadan ini dengan matlamat dan strategi yang jelas untuk meraih ketaqwaan dan kejayaan.
Dengan itu, perjalanan kehidupan seharian dalam mencari rezeki atau menunaikan tanggungjawab masing-masing dilaksanakan dengan lebih teratur dan dapat menggembeleng mujahadah beribadah seperti memperbanyakkan tilawah al-Quran dan amalan zikrullah, menghidupkan malam dengan qiyam serta meningkatkan amal jariah. Selain itu, ibadah dan aktiviti seharian tidak dilakukan secara tergesa-gesa atau sekadar mengikut kebiasaan masyarakat, tetapi dilaksanakan dengan ada kemurnian niat, keinsafan, tujuan serta cara yang jelas dan terpandu. Sudah tentu perancangan itu turut mengambil kira persiapan menyambut Syawal.
Sesungguhnya Ramadan merupakan madrasah terbaik bagi melatih umat Islam agar menjadi hamba Allah yang berdisiplin dan berkesedaran terhadap nilai kesiapsiagaan. Jika madrasah ini benar-benar ditekuni dan dihayati, maka budaya perancangan dan persediaan diri akan mengukuh sebagai aset seorang Muslim.
Ketika itu, istilah raya mengejut tidak lagi relevan, kerana Ramadan telah berjaya mendidik kita menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa dan beroleh kejayaan.

Dr. Mohammaddin Abdul Niri ialah pensyarah kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
