Oleh Dr. Siti Aisyah Samudin
Sejak sekian lama, tindakan penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah sering menjadi bahan perdebatan dalam masyarakat. Setiap kali berlaku operasi khalwat sebagai contoh, atau pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa agama, akan muncul tuduhan bahawa tindakan tersebut merupakan satu bentuk tajassus, iaitu tindakan mengintip-intip kesalahan orang lain.
Salah faham ini semakin ketara apabila ada pihak yang melihat kesalahan seperti khalwat atau perlakuan tidak bermoral sekadar sebagai isu moral peribadi, sedangkan dalam perspektif Islam dan undang-undang syariah, ia merupakan kesalahan yang mempunyai implikasi lebih besar terhadap ketertiban masyarakat sekaligus wajar dicegah.
Persoalannya, adakah benar penguatkuasaan undang-undang syariah di Malaysia merupakan satu bentuk tajassus?
Dalam Islam, tajassus merujuk kepada perbuatan mengintip-intip keaiban yang tersembunyi atau mencari-cari kesalahan orang lain secara sengaja tanpa sebab yang munasabah. Larangan ini jelas disebut dalam al-Quran apabila Allah SWT melarang umat Islam daripada berprasangka buruk dan mengintip kesalahan sesama mereka. Prinsip ini bertujuan menjaga maruah dan privasi individu dalam masyarakat.
Namun demikian, konsep tajassus tidak boleh difahami secara terpisah daripada tanggungjawab menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran (hisbah) dalam masyarakat. Islam bukan sahaja menuntut umatnya menjaga akhlak peribadi, tetapi juga memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk bertindak apabila sesuatu kesalahan dilakukan secara terbuka atau wujud aduan dilaporkan kepada pihak berwajib.
Memahami peranan penguatkuasa syariah
Dalam konteks Malaysia, pegawai penguatkuasa agama tidak bertindak secara rawak atau mengintip kehidupan peribadi seseorang. Sebaliknya, kebanyakan operasi penguatkuasaan dilakukan berdasarkan aduan awam, maklumat risikan, atau laporan daripada pihak tertentu.
Sebagai contoh, dalam kes khalwat, operasi biasanya bermula apabila terdapat aduan daripada jiran, pengurusan premis, atau orang awam yang mengesyaki berlaku perbuatan mencurigakan antara pasangan bukan mahram di sesuatu premis. Aduan sebegini memerlukan pihak penguatkuasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan sama ada benar berlaku kesalahan di bawah undang-undang syariah negeri.
Dalam situasi seperti ini, pegawai penguatkuasa tidak boleh terus melakukan tangkapan. Mereka perlu terlebih dahulu memastikan terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan mungkin berlaku. Selepas itu, barulah pemeriksaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sebagai contoh, jika aduan dibuat mengenai pasangan bukan mahram yang berada berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel atau rumah sewa dalam keadaan yang mencurigakan, pegawai penguatkuasa akan mengetuk pintu dan meminta penghuni membuka pintu secara sukarela. Setelah identiti mereka diperiksa dan didapati mereka bukan suami isteri atau bukan mahram, barulah tindakan lanjut boleh diambil.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan tersebut bukanlah satu bentuk tajassus, sebaliknya merupakan tindakan berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima.
Selain kes khalwat, terdapat juga kesalahan lain di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sering menjadi aduan masyarakat. Antaranya termasuklah tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan secara terbuka pada waktu siang, lelaki yang berpakaian menyerupai perempuan, serta penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam.
Sebagai contoh, dalam bulan Ramadan, kadangkala orang awam membuat aduan apabila terdapat individu Muslim yang makan secara terbuka di premis awam tanpa alasan yang munasabah. Dalam keadaan ini, pegawai penguatkuasa perlu menjalankan pemeriksaan bagi menentukan sama ada individu tersebut benar-benar melakukan kesalahan atau mempunyai alasan yang dibenarkan seperti sakit atau musafir.
Penutup
Perlu difahami bahawa undang-undang jenayah syariah diwujudkan bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi juga untuk memelihara nilai dan norma dalam masyarakat Islam. Dalam banyak keadaan, penguatkuasaan juga disertai dengan pendekatan nasihat dan kaunseling sebelum tindakan mahkamah diambil.
Namun begitu, dalam era media sosial hari ini, banyak tindakan penguatkuasaan sering dipersembahkan secara tidak lengkap. Video pendek atau naratif tertentu boleh menimbulkan persepsi bahawa pihak berkuasa agama bertindak secara kasar atau melampaui batas.
Hakikatnya, pegawai penguatkuasa agama juga tertakluk kepada prosedur operasi standard serta batasan undang-undang yang jelas. Jika berlaku penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang tidak mematuhi prosedur, perkara tersebut boleh dicabar melalui saluran undang-undang.
Oleh itu, perbincangan mengenai isu penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah perlu dilakukan secara lebih adil dan berasaskan fakta. Melabel setiap tindakan penguatkuasaan sebagai tajassus tanpa memahami proses sebenar hanya akan menimbulkan salah faham terhadap sistem perundangan syariah itu sendiri.
Pada akhirnya, masyarakat perlu melihat isu ini secara seimbang. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa agama juga perlu terus meningkatkan profesionalisme, ketelusan dan pendekatan yang berhikmah dalam melaksanakan tugas mereka.
Penguatkuasaan undang-undang syariah bukan bertujuan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi untuk memastikan nilai dan prinsip yang menjadi asas kehidupan masyarakat Islam terus dipelihara.

Dr. Siti Aisyah Samudin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
