Oleh Dr Ariyanti Binti Mustapha
Kemuliaan bulan Ramadan bukan sahaja terletak pada pesta ibadah dalam kalangan umat Islam yang berlumba-lumba memperbanyakkan amal kebajikan seperti bersedekah, membaca al-Quran dan meningkatkan ibadah solat sunat di samping menunaikan kewajipan solat lima waktu. Bahkan, keberkatan Ramadan yang dianugerahkan oleh Allah SWT sekali dalam setahun sewajarnya dimanfaatkan secara optimum untuk memperkukuh amalan kebaikan serta menjauhi segala bentuk perbuatan yang boleh mengurangkan ganjaran puasa, malah berpotensi menghapuskan pahala ibadah tersebut tanpa disedari.
Pada masa kini, sebahagian besar masyarakat di Malaysia, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial, menjadikan komunikasi secara maya sebagai medium interaksi yang mudah, pantas dan bersifat menghiburkan untuk dimanfaatkan pada setiap masa. Kajian menunjukkan bahawa kadar pengguna aktif media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 30.7 juta yang bersamaan dengan 85% jumlah populasi rakyat Malaysia, sekali gus menggambarkan lonjakan yang signifikan dalam pola komunikasi digital masyarakat. Perkembangan ini memperlihatkan tahap kecaknaan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi komunikasi yang semakin tinggi, melibatkan pengguna daripada pelbagai lapisan dan peringkat umur.
Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Threads dan TikTok merupakan antara aplikasi yang dominan serta berpengaruh dalam membentuk landskap komunikasi semasa. Justeru, penggunaannya wajar disepadukan dengan kesedaran terhadap nilai-nilai keberagamaan sebagai pendinding daripada kecenderungan menghasilkan atau menyebarkan hantaran dan komentar yang bersifat negatif, provokatif atau merendahkan pengguna lain.
Ramadan pada kali ini memperlihatkan wujudnya budaya komunikasi yang amat membimbangkan dalam kalangan segelintir pengguna media sosial, sama ada individu mahupun cybertrooper berbayar, yang menzahirkan kecenderungan obsesif untuk mengkritik dan menghina individu atau pemimpin yang tidak sehaluan dengan pendirian mereka. Keterbukaan dalam memberikan komen sehingga melampaui batas, dengan lontaran hinaan, cacian dan fitnah tanpa kawalan, seolah-olah menenggelamkan kemuliaan Ramadan di sebalik keghairahan melakukan dosa melalui penulisan yang kekal berlegar di alam siber.
Lebih membimbangkan, sebahagian besar penulisan tersebut dilakukan oleh individu Muslim yang seharusnya menjadikan ibadah puasa sebagai perisai daripada perbuatan dosa, termasuk dosa lisan dan tulisan yang dibaca serta disebarkan kepada ribuan pengguna lain. Nilai-nilai asas dalam Islam seperti tabayyun, hormat-menghormati, ihsan, dan hikmah dalam berbicara tidak dihayati secara menyeluruh oleh segelintir pengguna media sosial. Akibatnya, keperibadian dan tahap penghayatan agama mereka terserlah melalui penulisan serta ungkapan yang berbaur negatif dan jelas bertentangan dengan prinsip akhlak Islam.
Persoalan yang sering berlegar ialah: bagaimanakah isu tersebut dapat ditangani secara berkesan? Secara ringkasnya, jawapan yang sering diketengahkan ialah “kesedaran kendiri, tabayyun dan muhasabah diri.”. Walaupun jawapan ini kelihatan mudah dan bersifat normatif, pelaksanaannya menuntut kefahaman yang mendalam terhadap nilai-nilai murni dalam pembinaan akhlak, kesedaran tentang amanah terhadap Allah SWT serta tanggungjawab terhadap sesama manusia yang akan dipersoalkan kelak di akhirat.
Bulan Ramadan sepatutnya menjadi madrasah tarbiyah untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dapat mengurangkan pahala puasa, dan menjadi medium untuk melipatgandakan amal kebaikan. Nabi Muhammad mengingatkan tentang pentingnya seseorang menjaga lisan dan tingkah laku ketika berpuasa. Sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, akan tetapi puasa adalah menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan perkataan keji.” (Riwayat al-Baihaqi)
Peringatan daripada hadis tersebut secara jelas menuntut umat Islam agar menahan diri daripada melakukan sebarang perbuatan yang melibatkan tutur kata mahupun penulisan yang bersifat dusta, kerana perbuatan tersebut berpotensi mengurangkan, bahkan menghilangkan pahala puasa di bulan Ramadan. Justeru, pengamalan nilai ihsan dan tabayyun dalam setiap bentuk penulisan serta pertuturan di media sosial, khususnya sepanjang Ramadan, hendaklah selari dengan kemuliaan bulan yang penuh keberkatan ini.

Dr Ariyanti Mustapha ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
