Oleh Prof Madya Dr Mohammad Taqiuddin Mohamad
Mutakhir ini, tindakan tegas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelbagai kes salah guna dana awam kembali mencetuskan perbincangan tentang integriti pengurusan kewangan negara. Menurut laporan rasmi dan kenyataan media sepanjang 2024–2025, kerugian akibat ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan jumlah ratusan juta ringgit setahun, merangkumi dana kebajikan, projek pembangunan serta perolehan awam. Dalam konteks ini, persoalannya bukan sekadar tentang siapa yang bersalah, tetapi apakah implikasi ekonomi apabila dana awam dan kebajikan diseleweng, khususnya dari sudut nilai amanah yang menjadi teras ekonomi Islam.
Dalam kerangka ekonomi Islam, dana awam tergolong sebagai māl ‘āmm iaitu harta milik umum yang diamanahkan untuk dimanfaatkan demi kepentingan masyarakat. Seperti ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam perbahasan maslahah, harta awam tidak boleh diurus menurut kepentingan peribadi kerana ia berkait langsung dengan tanggungjawab moral dan kesejahteraan ummah. Justeru, penyelewengan dana awam bukan sahaja merupakan pelanggaran undang-undang, malah satu bentuk pengkhianatan amanah yang meruntuhkan asas ekonomi beretika.
Dari sudut makroekonomi, kebocoran dana awam membawa implikasi berganda. Sebagai contoh, Belanjawan Persekutuan Malaysia 2025 memperuntukkan lebih RM400 bilion bagi perbelanjaan keseluruhan negara, termasuk puluhan bilion untuk subsidi dan bantuan sosial. Sekiranya hanya 1–2 peratus daripada dana kebajikan ini mengalami ketirisan, nilai yang hilang boleh mencecah ratusan juta ringgit. Dengan mengambil kira anggaran kesan pengganda fiskal sekitar 1.5 hingga 2.0 bagi perbelanjaan sosial, kerugian ekonomi sebenar boleh menjadi dua kali ganda daripada jumlah asal. Dari sudut ekonomi Islam, peluang menjana maslahah dan keberkatan ekonomi turut terpadam apabila dana yang diperuntukkan gagal beredar kepada golongan berpendapatan rendah yang mempunyai kecenderungan perbelanjaan yang tinggi. Lebih membimbangkan lagi, kesan penyelewengan melangkaui angka kewangan.
Ekonomi Islam menekankan bahawa pasaran dan institusi hanya berfungsi secara cekap apabila amanah dan kepercayaan dipelihara dengan baik. Ibn Khaldun mengingatkan bahawa keruntuhan sesebuah tamadun sering bermula dengan kerosakan moral dan kezaliman dalam pengurusan harta. Hal ini berlaku apabila institusi yang diamanahkan mengurus dana awam terpalit dengan isu integriti, peningkatan kos transaksi secara signifikan, proses audit diperketat, pertambahan dokumentasi dan mekanisme pemantauan yang diperluas. Dalam praktis semasa, institusi kebajikan dan agensi awam terpaksa memperuntukkan tambahan 10–20 peratus kos pentadbiran untuk pematuhan dan pemantauan, sekali gus mengurangkan peratus dana yang sampai kepada penerima sebenar.
Ini mencerminkan kelemahan fungsi hisbah dalam tadbir urus moden. Dari sudut pengagihan kekayaan, dana kebajikan lazimnya disalurkan kepada kumpulan B40 yang mempunyai kecenderungan mengguna tinggi (high marginal propensity to consume). Apabila bantuan ini sampai kepada sasaran, ia merangsang perniagaan kecil, meningkatkan aliran tunai komuniti setempat dan menyokong pertumbuhan inklusif. Sebaliknya, apabila dana diseleweng dan terkumpul dalam kelompok kecil, kesan pengganda menjadi terhad dan tidak inklusif.
M. Umer Chapra menegaskan bahawa pengumpulan kekayaan dalam kelompok sempit melemahkan daya tahan ekonomi dan menjejaskan keadilan sosial. Dalam kerangka maqasid Syariah, keadaan ini bertentangan dengan prinsip ḥifẓ al-māl (pemeliharaan harta) dan taḥqīq al-maṣlaḥah al-ʿāmmah (pencapaian kebaikan umum) dalam ekonomi Islam. Isyarat negatif terhadap tadbir urus turut memberi kesan kepada pelaburan sosial dan keyakinan penyumbang. Dalam era di mana syarikat semakin menilai aspek tadbir urus, ketelusan dan ESG sebelum menyalurkan dana CSR, reputasi institusi juga menjadi faktor kritikal. Kehilangan modal sosial iaitu kepercayaan dan legitimasi moral menjadikan kos pemulihan reputasi jauh lebih tinggi berbanding kos pencegahan awal. Dari perspektif ekonomi institusi Islam, kelemahan dalam pemisahan fungsi, kawalan dalaman dan akauntabiliti amanah mencerminkan kegagalan struktur, bukan sekadar kesilapan individu.
Sehubungan itu, pembaharuan dasar perlu digerakkan berteraskan maqasid. Pertama, garis panduan nasional pengurusan dana awam dan kebajikan yang menetapkan standard minimum seperti pemisahan fungsi, pelaporan berkala dan audit berasaskan risiko wajar diperkukuh. Kedua, pendekatan pencegahan awal (ex-ante control) selaras dengan prinsip sadd al-dharā’i perlu diberi keutamaan, kerana kos kawalan dalaman lazimnya jauh lebih rendah berbanding kos pemulihan selepas skandal berlaku. Ketiga, ketelusan awam melalui pelaporan terbuka dan digitalisasi maklumat boleh meningkatkan akauntabiliti serta mengurangkan ruang manipulasi. Keempat, insentif ekonomi seperti keutamaan geran atau potongan cukai kepada institusi yang mematuhi piawaian tadbir urus tinggi boleh menjadikan amanah sebagai keputusan ekonomi yang rasional.
Akhirnya, dalam menilai isu penyelewengan dana awam, masyarakat perlu memberi ruang kepada proses perundangan berjalan secara adil. Namun dari perspektif ekonomi Islam, mesejnya jelas: setiap ringgit dana awam yang bocor bukan sahaja membawa kos fiskal berganda, tetapi menghakis amanah, maslahah dan keberkatan ekonomi. Memperkukuh tadbir urus dana awam bukan sekadar tuntutan etika atau undang-undang, tetapi satu keperluan maqasid bagi memastikan pembangunan negara kekal adil, lestari dan diberkati.

Prof Madya Dr Mohammad Taqiuddin Mohamad ialah pensyarah di Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
