KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) mempergiat misi menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sempena mengambil keberkatan bulan mulia ini menerusi kempen tahunan ‘Seikhlas Ramadan’ yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Antara inisiatif terbaru ialah Program Ziarah Belantara yang menyantuni komuniti mualaf Orang Asli di Perkampungan Orang Asli (Pos) Lemoi dan Pos Telimau di Cameron Highlands, Pahang bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Belantara dengan konvoi 17 kenderaan pacuan empat roda dan 55 sukarelawan.
Meredah laluan balak yang lecak dan hutan berkabus, konvoi itu membawa bantuan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung dan barangan dapur lain bagi membantu komuniti setempat membuat persiapan berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Selain bantuan makanan, program itu turut diisi dengan sesi iftar, tarawih dan tazkirah bersama komuniti mualaf Orang Asli sebagai sokongan berterusan dalam mengukuhkan kefahaman serta penghayatan Islam dalam kehidupan seharian mereka.
“Kami mengambil berat amanah yang diberikan oleh para penyumbang. Apabila kita menyentuh tentang sedekah, bagi ikhlas.com ia bukan sekadar transaksi digital. Ia adalah amanah yang perlu sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk komuniti yang berada jauh di pedalaman,” katanya.
Selain Program Ziarah Belantara, kempen Seikhlas Ramadan turut melibatkan pelbagai inisiatif lain dengan usahasama jawatankuasa dan kariah masjid, pertubuhan kebajikan dan pihak berkuasa tempatan bagi menyantuni komuniti asnaf dan golongan memerlukan.
Antaranya termasuk Program Makeover Rumah Asnaf dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi membantu memperbaiki kediaman keluarga asnaf dan program Shopping Raya ‘Ikhlas Untukmu’ yang membantu keluarga asnaf membuat persiapan Aidilfitri termasuk pakaian dan keperluan asas.
Dalam masa yang sama, beberapa program iftar komuniti turut dianjurkan termasuk penyediaan 1,100 pek makanan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan 1,500 pek makanan iftar kepada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.

Sumbangan makanan berbuka termasuk bubur lambuk turut disalurkan kepada 3,000 petugas barisan hadapan dengan kerjasama AirAsia Ride di KLIA Landside, Sepang selain penganjuran iftar komuniti bersama 110 keluarga asnaf melibatkan lebih 1,000 penerima di St Rosyam Mart, Jalan Kebun, Klang yang turut menerima bantuan barangan keperluan asas.
Sehingga kini, lebih 20,000 pek makanan panas untuk berbuka dan kira-kira 1,200 bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan pada sepanjang bulan Ramadan.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh Syariah seperti zakat, qurban, aqiqah, sedekah dan fidyah. Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store.
