Program Mobility Matching Fund (MOMAF) berteraskan nilai Madani antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Negeri Malang (UM) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh jayanya, menyatukan elemen akademik, budaya, khidmat komuniti dan kelestarian alam sekitar dalam satu pengalaman mobiliti yang menyeluruh dan bermakna.
Program ini direalisasikan melalui pembiayaan geran Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), USM dan diketuai oleh Ahmad Naqib bin Shuid bersama Asmida binti Isa, Ng Siew Kit dan Shafinah binti Ahmad daripada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM. Turut serta ialah 10 orang pelajar pascasiswazah daripada pelbagai bidang termasuk Bioperubatan, Biologi Molekul, Genetik Perubatan, Mikrobiologi dan Sains Komputer.
Program dimulakan dengan Majlis Sambutan dan Pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) di Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi (FMIPA), UM pada 28 Oktober 2025. Majlis tersebut menjadi simbol komitmen rasmi kedua-dua institusi dalam memperkukuh kerjasama strategik meliputi mobiliti pelajar, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah dan perkongsian kepakaran.
Ucapan alu-aluan oleh pihak UM dan USM menekankan kepentingan jaringan akademik rentas sempadan dalam mendepani cabaran global, khususnya dalam bidang sains kesihatan dan pendidikan STEM. Perbincangan dua hala yang diadakan selepas majlis turut merangka pelan tindakan jangka panjang termasuk potensi penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah dan kolaborasi geran penyelidikan antarabangsa.
Pengajaran sains dalam konteks dunia sebenar
Sepanjang minggu program, beberapa sesi pengajaran secara bersama telah dilaksanakan melibatkan pensyarah USM dan UM. Dalam kursus Basic Chemistry, Dr. Shafinah menyampaikan kuliah bertajuk Basic Chemistry in Cancer Drug Screening yang memperkenalkan aplikasi kimia dalam penyelidikan ubat antikanser. Pelajar didedahkan kepada proses pengekstrakan sebatian semula jadi, pengenalpastian struktur dan kepentingan profil kimia dalam pembangunan terapeutik.
Sesi menjadi lebih interaktif apabila pelajar USM berkongsi pengalaman penyelidikan masing-masing, diikuti kuiz Kahoot yang mencetuskan suasana pembelajaran santai tetapi kompetitif.
Bagi kursus Biokimia pula, Dr. Asmida memberi tumpuan kepada teknik Polymerase Chain Reaction (PCR). Penerangan terperinci tentang proses denaturasi, annealing dan extension membantu pelajar memahami bagaimana DNA boleh digandakan secara terkawal di makmal. Perkongsian oleh pelajar PhD mengenai penyelidikan epigenetik dan protein ADAR1 turut membuka perspektif baharu tentang penyelidikan semasa dalam biokimia moden.
Sesi Pertukaran Budaya USM–UM menjadi antara momen paling meriah. Pelajar kedua-dua negara berkongsi pakaian tradisional seperti Baju Melayu, Baju Kurung, kebaya dan busana tradisional Bali. Perkongsian tentang makanan seperti nasi lemak dan bakso serta kuiz slanga tempatan mencetuskan gelak tawa dan rasa keakraban.
Persembahan tarian tradisional oleh pelajar UM menutup sesi dengan penuh warna-warni, memperlihatkan betapa budaya menjadi jambatan penting dalam mengeratkan hubungan serantau.
Lawatan ke Kampung Warisan Kajoetangan dan Malang City Tour (MACITO) memberikan dimensi sejarah kepada pengalaman mobiliti ini. Peserta menelusuri lorong-lorong sempit dengan bangunan era kolonial Belanda, mendengar kisah penduduk setempat dan memahami evolusi bandar Malang daripada zaman kerajaan Kanjuruhan hingga era moden.
Pengalaman ini bukan sekadar lawatan santai, tetapi ruang refleksi tentang bagaimana sejarah dan identiti membentuk landskap sosial dan pendidikan sesebuah negara.
Khidmat komuniti menyemai minat sains seawal usia
Program jangkauan sains di Sekolah Makmal UM melibatkan 127 pelajar sekolah menengah rendah. Aktiviti dibahagikan kepada beberapa stesen termasuk pengekstrakan DNA strawberi dan pengenalan kepada penyakit genetik serta ciri pewarisan.
Melalui aktiviti membuat rantai kunci manik berdasarkan ciri genetik sendiri, pelajar bukan sahaja memahami konsep genotip dan fenotip, malah dapat melihat kepelbagaian genetik secara visual dan menyeronokkan. Respons pelajar amat menggalakkan, dengan soalan-soalan kritikal dan keterujaan jelas terpancar sepanjang sesi.
Bengkel CodeMasterMadani© pula menghimpunkan lebih 100 pelajar pendidikan sains UM dalam sesi latihan asas pengaturcaraan dan penggunaan Arduino Promega 2560. Dalam tempoh tiga jam, peserta diberi pendedahan kepada konsep coding dan aplikasi mikro-pengawal dalam penyelesaian masalah STEM.
Sepuluh unit Arduino turut diserahkan kepada pihak FMIPA bagi memastikan kesinambungan latihan selepas program tamat. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan bakal guru sains menghadapi era pendidikan digital.
Lawatan ke Batu dan Gunung Bromo menjadi penutup bermakna program ini. Selain aktiviti rekreasi di Florawisata Santerra, peserta turut menjalankan aktiviti pembersihan ringan di kawasan Bromo sebagai simbol tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pendakian ke kawah gunung berapi aktif tersebut memberi peluang pembelajaran secara langsung tentang struktur geologi dan fenomena gunung berapi, sekali gus menggabungkan ilmu sains dengan kesedaran ekologi.
Menurut Wan Amirul Syazwan, pelajar PhD Mikrobiologi PKTAAB, USM: “Program ini membuka mata saya tentang bagaimana sains dan budaya boleh bergerak seiring. Melihat keterujaan pelajar sekolah ketika aktiviti DNA extraction benar-benar mengingatkan saya mengapa pendidikan STEM itu penting”.
Seorang lagi peserta, Nurin Hanisah, pelajar Sarjana Sains (Biologi Molekul) pula berkongsi: “Walaupun jadual program sangat padat dan hujan hampir setiap hari, layanan mesra rakan-rakan UM membuatkan kami rasa seperti keluarga sendiri. Setiap sesi, sama ada akademik atau santai, memberi pengalaman yang tidak ternilai”.
Secara keseluruhan, Program MOMAF USM–UM berjaya melangkaui objektif mobiliti akademik semata-mata. Ia menyemai nilai kolaborasi, hormat budaya, tanggungjawab sosial dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan peserta.
Hubungan yang terjalin bukan sekadar pada peringkat institusi, malah pada peringkat individu, pensyarah dan pelajar yang kini berkongsi jaringan profesional dan persahabatan rentas negara. Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama serantau yang dirancang dengan teliti mampu memberi impak nyata kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti.
Program ini menjadi contoh terbaik bagaimana semangat Madani diterjemahkan dalam bentuk tindakan, menghubungkan ilmu, insan dan kemanusiaan tanpa sempadan.
