Oleh Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry
Ramadan menjengah kembali. Walau bagaimanapun, perjalanan akademik tetap diteruskan juga. Begitulah kehidupan seorang pelajar. Seperti yang kita ketahui, bulan Ramadan membawa semangat membersihkan rohani. Tetapi pada masa yang sama, aktiviti-aktiviti dalam bulan yang mulia ini mengubah corak tidur, tahap tenaga dalam badan dan rutin seharian. Bagi anak-anak pelajar, cabarannya ketara iaitu bagaimana mengekalkan sesi pembelajaran yang efektif semasa berpuasa?
Penyelidikan lepas mengusulkan bahawa bulan Ramadan memberi kesan kepada pelajar dalam pelbagai bentuk. Merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan dalam jurnal BMC Public Health, 90.1% pelajar melaporkan bahawa tidur mereka terganggu, manakala 61.4% menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan dalam pembelajaran disebabkan keletihan. Tetapi, penyelidikan dalam bidang yang sama merumuskan aktiviti yang memerlukan tindak balas pantas dan berterusan lebih baik dilakukan pada sebelah pagi semasa berpuasa kerana prestasi otak lebih tajam pada awal hari. Jelaslah di sini, bulan Ramadan tidak menghalang proses pembelajaran, namun, para pelajar sekalian boleh mengubah cara pembelajaran semasa berpuasa untuk mencapai hasil yang baik.
Apabila isu pembelajaran dibincangkan, kata kuncinya mudah, iaitu masa dan tujuan. Para pelajar yang bangun pada awal pagi untuk bersahur dan sebelumnya, menunaikan solat sunat, sudah pasti mengalami perubahan pada kitaran dalaman tubuh masing-masing. Para penyelidik yang mengkaji berkenaan tidur mengenal pasti bahawa berpuasa boleh mengganggu kualiti tidur dan meningkatkan rasa lesu badan, namun demikian kesannya berbeza berdasarkan tabiat peribadi, pemakanan dan juga pengurusan masa. Ini dapat disimpulkan bahawa bulan Ramadan bukanlah penyebab untuk mengelak daripada belajar, tetapi mengajar bagaimana menguruskan diri dengan bijak, terutamanya pembahagian masa.
Oleh itu, salah satu strategi pembelajaran yang paling berkesan semasa berpuasa ialah jadualkan kerja-kerja kognitif pada sebelah pagi. Para pelajar boleh memperuntukkan blok waktu ini untuk mengulang kaji, membuat latihan penyelesaian masalah atau menyiapkan tugasan menulis. Sebaliknya, pada waktu tengah hari di mana tahap tenaga mulai berkurangan, ia boleh diperuntukkan untuk tugas-tugas yang lebih ringan, misalnya, menyemak semula nota, menonton kuliah dalam format video atau menyertai sesi perbincangan berkumpulan.
Seterusnya, nutrisi juga memainkan peranan yang penting. Banyak kajian menyatakan bahawa pengambilan makanan adalah kurang dalam bulan Ramadan dan ianya boleh mengganggu daya tumpuan dan ketahanan. Walau bagaimanapun, apabila amalan sahur yang baik dipraktikkan, yang kaya dengan karbohidrat kompleks, protein dan air, cara ini boleh membekalkan tenaga yang diperlukan sepanjang hari berpuasa. Seringkali pakar nutrisi mencadangkan pilihan makanan yang sesuai dengan rakyat Malaysia bagi mengekalkan tenaga yang berpanjangan, antaranya ialah oat, telur, buah-buahan dan kekacang.
Selain daripada bentuk fizikal, bulan Ramadan juga meningkatkan ketahanan mental dan emosi. Berdasarkan kepada satu kajian literatur sistematik, 71.4% penyelidikan lepas bersetuju bahawa berpuasa boleh menambah baik kesejahteraan psikologi, termasuklah mengurangkan tekanan dan meningkatkan kawalan emosi. Dapatan kajian ini bermakna bagi anak-anak pelajar kerana kestabilan emosi merupakan faktor sokongan utama kepada fokus dan motivasi belajar, dan juga pengekalan pencapaian akademik yang bermutu.
Pakar pendidikan psikologi juga menekankan kepentingan disiplin diri dan rutin yang baik dalam kehidupan seorang pelajar. Pelajar-pelajar boleh berjaya apabila mereka faham bahawa usaha merupakan jalan kepada penguasaan ilmu dan kemahiran dan seterusnya, mereka perlu melakukan usaha yang berterusan. Secara alaminya, bulan Ramadan menerapkan prinsip sebegini. Tatatertib berpuasa, iaitu menahan diri, mengekalkan fokus dan mempraktikkan rasa sabar, menyerupai langkah-langkah yang diperlukan untuk berjaya dalam akademik.
Di negara kita, para pakar dalam bidang pendidikan sering mengingatkan bahawa pembelajaran secara holistik perlu dilaksanakan. Pendidikan mesti dibangunkan berasaskan dimensi intelektual dan spiritual, bukan salah satu sahaja. Maka, bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat ini menyediakan peluang untuk mengintegrasikan intelektual dan spiritual, melatih para pelajar untuk menjadi lebih pandai, berdaya tahan dan mempunyai tahap kepekaan yang tinggi. Kesempatan yang hadir sekali setahun ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada perkembangan akademik dan sahsiah diri yang lebih unggul.
Dari segi sudut teknologi, jika digunakan dengan bijak, ia dapat menyokong sesi pembelajaran semasa berpuasa. Kuliah-kuliah yang dirakam, aplikasi pembelajaran dan perancang digital membenarkan pelajar-pelajar mengadaptasikan mod pembelajaran dengan tuntutan peribadi masing-masing dalam bulan Ramadan seperti solat, berehat dan komitmen kepada keluarga. Di samping itu, fleksibiliti pengajaran yang semakin diamalkan di peringkat pendidikan tinggi di negara kita membolehkan para pelajar menyesuaikan rentak pembelajaran dalam bulan Ramadan.
Justeru itu, bulan Ramadan tidak boleh dilihat sebagai bulan yang mengurangkan produktiviti, tetapi perlu dihayati sebagai bulan yang penuh dengan produktiviti yang bermatlamat. Para pelajar boleh meneruskan pembelajaran seperti sediakala dengan menyesuaikan jadual dengan corak tenaga, mengutamakan tidur dan mengekalkan objektif akademik yang realistik. Sesungguhnya, hadirnya Ramadan itu untuk mengajar kesabaran, disiplin, malah tujuan, yang semuanya mendefinisikan bagaimana seorang pelajar boleh berjaya. Bagi anak-anak pelajar di Malaysia, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa sebulan, tetapi bulan untuk menguatkan minda dan jiwa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
