Oleh Prof Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi
Masyarakat Malaysia menyaksikan seramai 3.2 juta pekerja gig menyertai alam pekerjaan. Pandemik COVID-19 telah meningkatkan peluang pekerjaan gig disebabkan oleh kekangan kesihatan seperti perintah darurat dan jangkitan penyakit. Namun begitu, selepas pandemik, jumlah pekerja gig berkurangan kerana sebahagian mereka telah pulang kepada pekerjaan masing-masing dan juga permintaan semakin berkurangan. Pekerjaan gig tetap mempunyai potensi kerana ia merupakan alternatif kepada pekerjaan tetap terutamanya bagi pekerja yang mempunyai masalah peribadi.
Istilah dan konsep pekerja gig bukanlah asing dari perspektif konvensional. Dalam Bahasa Inggeris, pekerja ‘contingent’ atau pekerja kontrak adalah seperti pekerja ‘freelance’ yang merupakan pekerja sementara yang diambil bekerja untuk tempoh terhad, berasaskan projek ataupun tidak tetap dan bukannya pekerja sepenuh masa atau tetap. Pekerjaan ini adalah berasaskan kepada pekerjaan fleksi dan anjal.
Justeru, bagaimana istilah pekerja ‘gig’ ini mula timbul? Timbulnya perkataan pekerja gig dari satu persembahan sementara yang dilakukan oleh pemuzik jazz pada tahun 1920an hingga 1930an. Selepas itu, perkataan pekerja gig mula digunakan dan dipopularkan pada tahun 1950an. Di situlah lahirnya ekonomi gig. Istilah ekonomi gig mula popular pada tahun 2009 apabila terdapatnya aplikasi digital sebagai platform yang menjadi mediasi antara pekerja gig dengan peniaga. Contohnya Grab dan Bolt untuk e-hailing. Manakala FoodPanda, Lala Move, Shopee Food dan lain-lain untuk kategori p-hailing. Kini kesemua platform ini merupakan sumber bagi pekerja gig mendapatkan maklumat mengenai kekosongan dalam tugasan atau pekerjaan seperti penghantaran barangan dan makanan.
Kaca mata Islam
Islam sangat menggalakkan manusia untuk bekerja dan menyara diri sendiri dan keluarga. Contoh seperti memotong kayu dan menjualnya di pasar. Dari Riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Seseorang mengambil tali lalu pergi ke gunung (untuk mencari kayu api), mengumpul kayu api, menjualnya dan dengan itu, Allah menjaga maruahnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta”.
Konsep pekerjaan gig menyamai kontrak ijarah dalam fiqh Islam, iaitu akad sewaan perkhidmatan atau upah. Dalam ijarah, seseorang dibayar berdasarkan kerja atau perkhidmatan yang dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau tugasan tertentu.
Dari kaca mata Islam, konsep pekerja gig adalah tidak asing. Pekerja upah sementara banyak diambil bekerja berdasarkan kepada tugasan. Rasulullah SAW sendiri merupakan pekerja gig kerana mengambil upah dari Saiditina Khadijah RA untuk melakukan perniagaan di Syam. Rasulullah SAW dibayar dua kali ganda disebabkan keuntungan yang berlipat ganda yang diperolehinya. Sikap jujur yang dimilikinya memberikan keuntungan dan keberkatan dalam perniagaan. Disebabkan itu, Baginda dikenali sebagai al-Amin. Setelah mengenali kejujuran Rasulullah SAW, tidak lama selepas itu, Rasulullah menjadi rakan kongsi perniagaan Saiditina Khadijah RA. Dengan menggunakan konsep mudharabah, keuntungan yang diperolehi dari perniagaan, dibahagi sama rata.
Justeru, adakah pekerja gig merupakan pekerjaan yang dibenarkan dalam Islam?. Terdapat beberapa syarat asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan pekerjaan gig diterima dalam Islam. Pertama adalah pekerjaan tersebut mesti bebas daripada riba dan arak serta babi. Kedua, pekerjaan itu tidak melalaikan pekerja daripada mengerjakan ibadat seperti solat, puasa dan membayar zakat.
Islam melarang sebarang bentuk ketidakpastian dalam kontrak sama ada dari segi bayaran, beban kerja atau keselamatan. Ini kerana dalam Islam, Maqasid Syariah menjadi tunjang keadilan kepada pekerja gig. Pekerjaan gig perlulah memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan harta (hifz al-mal) serta agama (hifz al-din). Islam meletakkan syarat yang sangat jelas dalam urusan pekerjaan, iaitu keadilan, dan ketiadaan penindasan. Rasulullah SAW bersabda: “Berikanlah upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya” (Riwayat Ibn Majah)
Hadith ini menunjukkan bahawa Islam sangat menekankan keadilan dalam pembayaran upah dan melarang kelewatan atau penafian hak pekerja dan penindasan terhadap pekerja. Oleh itu, sekiranya pekerjaan gig menyebabkan bayaran yang tidak adil, tidak telus atau menzalimi pekerja, maka amalan tersebut bercanggah dengan prinsip Islam. Surah al-Shu’ara, ayat 183 melarang perbuatan mengurangkan hak orang lain seperti timbangan dan bayaran: “Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi”.
Oleh itu, sejarah Islam jelas menunjukkan bahawa Islam menerima fleksibiliti dalam pekerjaan, namun pada masa yang sama menolak keras sebarang bentuk kezaliman dan eksploitasi dalam hubungan pekerjaan. Keseimbangan antara kecekapan pasaran dan keadilan sosial merupakan kunci kepada pelaksanaan pekerjaan gig yang mampan dan patuh syariah.
Selagi mana pekerja gig cuba menghindari daripada melakukan perkara haram seperti menipu, mencuri dan lain-lain, pekerjaan itu adalah halal. Mencari nafkah halal untuk diri dan keluarga dianggap sebagai jihad dan ibadah dari kaca mata Islam. Begitu juga dengan sikap jujur dan amanah perlulah mendasari pekerjaan gig.

Prof Dr Ilhaamie Abdul Ghani Azmi ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
