KULIM, 7 Mac 2026 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, telah mengambil bahagian secara langsung dalam Program Singgah Sahur RELA yang dianjurkan oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai tanda penghargaan kepada anggota sukarelawan yang bertugas sepanjang bulan Ramadan.
Program ini bertujuan untuk menyantuni dan menghargai pengorbanan anggota RELA yang menjalankan tugas menjaga keselamatan serta membantu komuniti di pelbagai lokasi, terutamanya pada waktu sahur yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.
Ketibaan YB Menteri disambut oleh YBhg. Datuk KPjR Rosli Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bersama YBhg. Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta pegawai kanan kementerian dan warga RELA.
Program bermula di Pejabat Penghulu Mukim Sungai Ular, Kulim, dengan sesi ramah mesra bersama anggota RELA dan komuniti setempat. YB Menteri Dalam Negeri turut menyediakan juadah bersahur sebagai penghargaan kepada mereka yang hadir.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution kemudian menyertai konvoi Singgah Sahur RELA yang melibatkan lebih 30 buah motosikal. Konvoi ini melawat beberapa lokasi tugas anggota RELA di sekitar Kulim, termasuk Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).


Di setiap lokasi, juadah sahur telah diagihkan kepada anggota RELA yang sedang bertugas, malah turut disampaikan kepada 20 orang pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kampus Kulim sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan muda.

Program diteruskan dengan sesi bersahur bersama anggota RELA dan tetamu di Pejabat RELA Daerah Kulim, di mana YB Menteri menyampaikan penghargaan atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan komuniti terpelihara sepanjang Ramadan.


Sebagai penutup, YB Menteri Dalam Negeri bersama para hadirin menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Muthmainnah, Kulim. Beliau kemudian menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf melalui wakil qariah masjid tersebut.
Penganjuran Program Singgah Sahur RELA ini bukan sahaja menjadi saluran untuk menghargai pengorbanan anggota RELA, tetapi juga memperkukuh hubungan erat antara kepimpinan Kementerian Dalam Negeri, warga RELA, serta masyarakat setempat. Inisiatif sebegini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, hormat-menghormati, dan ihsan dalam membina masyarakat yang prihatin dan harmoni.
