Oleh Dr Nurulhuda Ahmad Zaki
Fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku pada 3 Mac lalu bertepatan dengan malam 14 Ramadan 1447 Hijrah menarik perhatian umat Islam di Malaysia. Pada malam tersebut, bulan perlahan-lahan memasuki bayang Bumi sebelum berubah warna menjadi merah gelap, satu fenomena yang dikenali sebagai “blood moon”. Fenomena yang dikenali sebagai gerhana bulan penuh ini sebenarnya boleh disaksikan di Malaysia sekitar jam 7.33 malam. Namun begitu, keadaan langit yang diliputi awan tebal serta hujan di beberapa kawasan Semenanjung menyebabkan ramai tidak berpeluang melihatnya dengan jelas. Walaupun begitu, gerhana bulan tetap berlaku seperti yang telah dihitung oleh ahli astronomi sejak sekian lama. Fenomena ini bukan sekadar tontonan langit malam yang menarik, tetapi juga membawa pelbagai hikmah tentang keteraturan alam serta kebesaran Pencipta.
Secara saintifik, gerhana bulan berlaku apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan sehingga bayang Bumi menutupi permukaan Bulan. Ketika Bulan berada sepenuhnya dalam bayang umbra Bumi, ia tidak hilang sepenuhnya tetapi kelihatan kemerahan. Warna merah ini terhasil kerana cahaya Matahari yang melalui atmosfera Bumi dibiaskan dan hanya cahaya berwarna merah yang sampai ke permukaan Bulan. Fenomena ini sering digelar sebagai “blood moon” atau bulan merah. Apa yang menarik, waktu dan tempoh gerhana boleh dihitung dengan sangat tepat melalui kaedah astronomi moden. Para ahli astronomi mampu meramalkan gerhana bertahun-tahun lebih awal dengan perbezaan masa yang sangat kecil. Hal ini menunjukkan bahawa alam semesta bergerak mengikut sistem yang sangat teratur.
Keteraturan ini sebenarnya telah lama disebut dalam al-Quran. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Rahman ayat 5: “Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan”. Ayat ini menggambarkan bahawa peredaran matahari dan bulan berlaku dengan aturan yang sangat tepat sehingga manusia mampu mengira dan meramalkan pelbagai fenomena astronomi sejak berabad lamanya. Bagi ahli falak, gerhana bulan menjadi salah satu bukti bagaimana hukum alam berfungsi secara sistematik tanpa pernah tersasar daripada peraturannya. Kita dapat mengambil iktibar bahawa keseimbangan kosmos bergantung kepada perjalanan yang teratur mengikut sunnatullah. Andai berlaku penyimpangan walau sedikit, pasti akan membawa kepada kemusnahan alam yang tidak pernah tergambar oleh pemikiran manusia.
Kejadian gerhana bulan juga menjadi tanda kebesaran Allah yang menunjukkan bahawa seluruh alam berada di bawah kekuasaan-Nya. Dalam agama Islam, apabila berlaku gerhana bulan atau gerhana matahari, umat Islam dianjurkan untuk menunaikan solat gerhana sebagai tanda kesedaran terhadap kebesaran Tuhan. Amalan ini bukan kerana gerhana membawa apa-apa petanda tentang nasib dan sebagainya, tetapi sebagai bentuk refleksi dan peringatan bahawa fenomena alam merupakan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Apabila Allah SWT menetapkan sesuatu kejadian, ia akan berlaku tanpa sesiapa mampu menghalangnya.
Selain itu, gerhana bulan juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai ilmu astronomi. Fenomena ini sering menjadi detik yang menggalakkan orang ramai memandang ke langit dan menyedari bahawa alam semesta menyimpan banyak rahsia yang menunggu untuk diterokai. Ramai yang mula bertanya tentang bagaimana gerhana berlaku, mengapa bulan berubah warna dan mengapa fenomena ini tidak berlaku setiap bulan. Pertanyaan-pertanyaan seperti ini sebenarnya membuka ruang kepada minat terhadap sains dan kajian alam semesta. Dari sudut yang lebih luas, gerhana bulan juga memperlihatkan hubungan yang harmoni antara sains dan agama. Sains menjelaskan mekanisme gerhana melalui kedudukan dan pergerakan Matahari, Bumi dan Bulan. Sementara itu, agama mengajak manusia melihat fenomena tersebut sebagai tanda yang membawa kepada renungan tentang kebesaran Tuhan. Kedua-duanya tidak bercanggah, malah saling melengkapi dalam membantu manusia memahami alam dengan lebih mendalam.
Kita juga boleh mengambil pengajaran daripada kejadian gerhana dan mengaitkannya dengan kehidupan manusia. Ketika gerhana berlaku, bulan yang sebelumnya cerah dan terang akan bertukar kegelapan sementara waktu. Namun apabila gerhana berakhir, bulan kembali cerah seperti biasa. Perubahan ini dapat mencerminkan kehidupan manusia, adakalanya terang, adakalanya gelap. Kesukaran dan kegelapan yang dialami dalam hidup seseorang manusia bukanlah bersifat kekal. Sebaliknya, dengan melaluinya dengan penuh sabar, masa akan berlalu dan akhirnya keadaan akan kembali kepada keadaan yang lebih baik.
Hakikatnya, gerhana bulan bukan sekadar peristiwa astronomi yang indah di langit malam. Ia mengingatkan manusia bahawa alam semesta bergerak dengan aturan yang sangat teliti. Bagi mereka yang mahu berfikir, gerhana bulan membuka ruang untuk merenung kebesaran Pencipta di sebalik setiap peredaran alam.

Dr Nurulhuda Ahmad Zaki ialah Pensyarah Kanan di Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
