Shah Alam, 4 Mac 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memenuhi undangan ke Majlis Tautan Mahabbah dan Iftar Perdana yang berlangsung di Restoran Al-Rawsha, Seksyen 7, di sini, semalam.
Majlis yang dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan Kebajikan Assolahiyyah Malaysia (PKAM), Saadah Education Group (SEG), Innovative International College (IUC) dan Your Education Guidance (YEG) itu turut menyaksikan dua acara penting iaitu Peluncuran Jurnal Al-Thaqafah serta Pengenalan Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Sarjana Pengajian Islam di bawah SEG.
Inisiatif pelancaran jurnal dan program baharu ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan tradisi ilmu Islam (Turath). Jurnal Al-Thaqafah berperanan sebagai platform utama kepada para penyelidik dan ahli akademik untuk membincangkan isu-isu sosiobudaya serta sosiopolitik yang memberi kesan kepada dunia Islam.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa dan solat fardhu Maghrib secara berjemaah, mencipta suasana penuh keakraban dan ukhuwah di kalangan para hadirin.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Yayasan Minda merangkap bekas Naib Canselor dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah; Bekas Mufti Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Hj. Abdul Rahman Hj. Osman; Ahli Majlis Hukama’ Al-Muslimin (Muslim Council of Elders), Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad; Canselor IUC, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob; Dekan Institut Pengajian Islam Baitussaadah, Profesor Dr. Sheikh Omar Muhammad Kalash Al-Husainiy; Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Profesor Dato’ Dr. Mohd Fakhruddin Abdul Mukti; serta bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf dan para akademia lain.
Kehadiran Timbalan KPN ke majlis ini menunjukkan komitmen pihak Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat serta menyokong inisiatif pendidikan berteraskan Islam yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.
