Kuantan, 28 Februari 2026 – Sekumpulan pelajar perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Langkah Kasih: Ukirkan Senyuman Emas di One Stop Home Care Center sebagai usaha menyantuni dan meraikan warga emas.
Program ini dianjurkan bertujuan untuk meluangkan masa berkualiti bersama penghuni selain menyemai nilai empati dan kasih sayang dalam kalangan pelajar. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk sesi beramah mesra, gotong-royong, aktiviti mewarna, permainan tradisional seperti congkak dan dam aji, serta aktiviti membuat dan menghias sampul raya.


Menurut Pengarah Program, Muhamad Amirul Husni Khairul Nizam, penganjuran program sebegini bukan sahaja dapat mengukirkan senyuman emas di wajah para penghuni, malah turut menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar agar lebih menghormati dan menyayangi golongan warga emas.
“Interaksi secara langsung bersama penghuni memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada para pelajar. Ia membuka ruang untuk mereka memahami keperluan emosi dan sosial warga emas dengan lebih mendalam,” jelas beliau.


Program ini turut diakhiri dengan penyerahan sumbangan wang tunai hasil daripada yuran penyertaan Cabaran 70 Kilometer Langkah Kasih yang telah diadakan pada 26 Januari – 14 Febuari 2026. Selain itu, sumbangan makanan hasil sumbangan orang ramai turut disampaikan kepada pihak pengurusan pusat jagaan bagi membantu menampung keperluan harian penghuni.
Sementara itu, Penasihat program, Puan Nik Amalena Najebah Nik Azman berkata, UNITEN sentiasa menyokong penuh penganjuran program berbentuk CSR yang memberi impak langsung kepada komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat, malah mencerminkan komitmen UNITEN dalam memupuk budaya kesukarelawanan serta kelestarian sosial yang berpanjangan,” ujar beliau.

Penganjuran program Langkah Kasih: Ukirkan Senyuman Emas diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam menyantuni komuniti setempat serta membentuk mahasiswa yang holistik dan berjiwa prihatin.
