CodeMasterMadani©, sebuah inisiatif jangkauan pendidikan digital yang diterajui oleh Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), terus memperluaskan impaknya dalam memperkasa literasi digital merentas pelbagai peringkat pendidikan — daripada murid sekolah rendah di Utara Semenanjung Malaysia hinggalah kepada bakal pendidik sains menerusi kerjasama akademik antarabangsa.
Di Malaysia, program CodeMasterMadani©: Bengkel Asas Pengekodan Madani untuk Pengatur Cara Muda telah berjaya melibatkan lebih 600 murid sekolah rendah berusia antara 10 hingga 12 tahun, dengan sokongan lebih 120 orang guru dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pejabat pendidikan daerah dan negeri, dengan tumpuan kepada pendedahan awal dalam bidang pengekodan, robotik dan elektronik, khususnya kepada pelajar dari kawasan luar bandar dan separa luar bandar.


Pelaksanaan program dijalankan secara bersemuka di beberapa lokasi terpilih, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Baling, SK Machang Bubok II, SK Wawasan Perak, SJKT Mak Mandin serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis. Setiap sesi telah dirasmikan oleh pemimpin pendidikan setempat yang menekankan kepentingan pembelajaran berasaskan teknologi sejak usia muda bagi memupuk kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah dan keupayaan menyesuaikan diri dalam dunia digital yang semakin berkembang.
Keunikan utama program ini terletak pada pendekatan pembelajaran secara hands-on dan berasaskan aplikasi. Secara keseluruhan, lebih 130 kit Arduino Promega 2560 telah digunakan dan diserahkan kepada sekolah-sekolah terlibat, hasil sokongan pembiayaan daripada Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM. Penggunaan kit ini membolehkan murid berinteraksi secara langsung dengan mikropengawal, penderia dan sistem automasi asas, sekali gus menterjemahkan konsep abstrak kepada pengalaman pembelajaran yang konkrit dan bermakna.
Majlis penyerahan rasmi kit tersebut telah disempurnakan oleh Dr Ahmad Naqib Shuid, Ketua Program CodeMasterMadani© dan pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, PPKPK, USM. Beliau menegaskan bahawa inisiatif ini melangkaui aspek teknikal semata-mata.

“CodeMasterMadani© bukan sekadar mengajar asas pengekodan. Ia bertujuan memupuk kreativiti, membina keyakinan diri dan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran digital yang amat penting untuk masa depan mereka,” katanya.
Selepas bengkel asas, para peserta meneruskan pembelajaran melalui sesi susulan secara dalam talian dan bersemuka yang dijalankan dari April hingga Disember 2025. Program ini mencapai kemuncaknya menerusi Pertandingan Kejuaraan Pengekodan Madani dan Inovasi Kreatif CodeMasterMadani© peringkat Zon Utara. Dalam pertandingan ini, pasukan-pasukan pelajar dicabar untuk membangunkan projek berasaskan Arduino yang menyelesaikan isu dunia sebenar atau mencadangkan inovasi selaras dengan sekurang-kurangnya satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Projek dinilai berdasarkan kreativiti, ketepatan teknikal, praktikaliti, impak serta kualiti pembentangan. Juara pertandingan disandang oleh SKKS Semberani (Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat), diikuti naib juara oleh Subaru Coding Monkeys (Sekolah Kebangsaan Sungai Baharu) dan tempat ketiga oleh Smart Dustbin (Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi). Anugerah saguhati pula diberikan kepada D’Force (SK Jalan Matang Buluh) dan Sin Hwa IT Boysz (SJK (C) Sin Hwa). Semua pasukan pemenang menerima hadiah wang tunai dan sijil sebagai pengiktirafan terhadap inovasi, kerjasama berpasukan dan pencapaian teknikal mereka.
Di peringkat antarabangsa, CodeMasterMadani© terus mengembangkan pengaruhnya menerusi kerjasama akademik di bawah inisiatif Science Without Borders: Collaborative Pathways in Research, Education and Community Impact. Pada 31 Oktober 2025, Program Jangkauan Pendidikan Sains CodeMasterMadani© telah dilaksanakan di Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi (FMIPA), Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, melibatkan lebih 100 pelajar prasiswazah yang bakal menjadi pendidik sains.
Program selama tiga jam ini dianjurkan oleh PKTAAB, USM dan diketuai oleh Dr Ahmad Naqib Shuid, dengan penglibatan dua orang pensyarah UM, empat orang pensyarah USM serta sepuluh orang pelajar USM. Program ini dirangka bagi meningkatkan literasi digital bakal guru melalui gabungan kuliah dan aktiviti praktikal yang memfokuskan kepada pengekodan berasaskan perisian serta aplikasi mikropengawal Arduino Promega 2560.
Bagi memastikan impak berterusan, sebanyak 10 unit Arduino Promega 2560 telah diserahkan secara rasmi kepada FMIPA UM untuk digunakan dalam pengajaran dan projek inovasi pelajar, sekali gus menyokong pembelajaran kendiri dan eksperimen berterusan selepas program tamat.

“CodeMasterMadani© bukan sekadar program latihan asas pengekodan, sebaliknya merupakan titik permulaan kepada pembangunan bakat digital yang lebih tersusun dan berjangka panjang,” ujar Dr Ahmad Naqib.
Maklum balas peserta amat positif, dengan pendekatan praktikal dan berasaskan aplikasi dikenal pasti sebagai faktor utama yang menjadikan konsep pengekodan yang kompleks lebih mudah dibahami dan menarik.
Melalui pelaksanaannya di peringkat sekolah rendah dan universiti, serta pengembangannya ke luar negara, CodeMasterMadani© mencerminkan komitmen berterusan Universiti Sains Malaysia terhadap pendidikan inklusif, kerjasama antarabangsa dan pembinaan kapasiti mampan dalam bidang pendidikan digital dan STEM. Dengan menyemai minat awal dalam kalangan pelajar muda serta melengkapkan bakal pendidik dengan kemahiran teknologi yang praktikal, inisiatif ini menyumbang secara signifikan ke arah pembentukan generasi celik digital dan bersedia menghadapi masa depan, selaras dengan aspirasi nasional dan keutamaan pendidikan global.
