Oleh Mohd. Shahid Mohd. Noh
Konsep birr dan ihsan sering difahami secara sempit sebagai nilai akhlak atau etika individu semata-mata. Namun, dalam kerangka Syariah yang lebih syumul, kedua-dua konsep ini mempunyai dimensi ekonomi dan pembangunan insan yang signifikan. Ia bukan sekadar dorongan moral untuk memberi, bahkan merupakan prinsip asas dalam membentuk sistem ekonomi yang adil, lestari dan berteraskan tanggungjawab sosial. Dalam konteks ekonomi Islam kontemporari, penghayatan birr dan ihsan berpotensi mengubah modus operandi pengurusan ekonomi daripada sekadar pengagihan bersifat sementara kepada pembangunan yang berimpak jangka panjang.
Firman Allah SWT (yang bermaksud): Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. (Surah al-Nahl: ayat 90)
Berkaitan dengan gesaan yang Allah sebutkan dalam Al-Quran berkaitan kerjasama dalam birr dan ihsan, Allah berfirman SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”. (Surah al-Ma’idah: ayat 2)
Melalui Syariah yang syumul, birr dan ihsan perlu dilihat sebagai mekanisme strategik bagi mencapai tujuan syariah seperti keadilan ekonomi, pengagihan kekayaan yang saksama serta pemeliharaan kesejahteraan masyarakat. Konsep ini berkait rapat dengan prinsip istikhlaf umraniyah, iaitu tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memakmurkan bumi dan mengurus sumber secara beretika.
Nabi Muhammad SAW berkaitan mengenai ihsan: Allah SWT mengarahkan agar dilaksanakan segala sesuatu itu dengan penuh ihsan. (Riwayat Muslim dan Al-Tarmizi)
Dalam ekonomi Islam, instrumen seperti al-qard al-hasan, wakaf, sedekah, infak dan takaful mencerminkan pengamalan praktikal konsep birr dan ihsan. Apabila diurus secara strategik dan bukan sekadar sebagai mekanisme bantuan kebajikan atau amal sementara, instrumen-instrumen ini bukan sahaja memenuhi keperluan segera golongan memerlukan, malah berperanan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih berstruktur serta memperkukuh kapasiti produktif dan daya tahan masyarakat.
Sekalipun melalui pengajaran dan pendedahan yang diperoleh dari sistem ekonomi hari ini lebih mengajar manusia untuk menjadikan produksi ekonomi itu terdiri di atas usaha, modal dan teknologi, birr dan ihsan ini diyakini mampu untuk membina semula falsafah yang lebih lestari dalam mengimarahkan bumi ini setelah teori dan fahaman Barat dalam ekonomi yang selama ini memandu dunia dilihat gagal di mana kesenjangan antara miskin dan kaya semakin menjarak, ketidaksamarataan semakin jelas dan krisis kemanusiaan semakin membarah seperti dilihat oleh dunia ketika ini dalam krisis-krisis seperti di Palestin dan Sudan.
### Transformasi kepada bantuan yang produktif
Salah satu cabaran utama ialah kecenderungan melihat birr dan ihsan sekadar dalam bentuk sedekah bermusim yang tidak memberikan impak jangka panjang. Pendekatan yang terlalu bersifat kuantitatif tanpa perancangan strategik yang dipayungi oleh kerangka birr dan ihsan boleh membawa kepada masalah kebergantungan kepada satu pihak yang hanya memberi sekali gus membawa liabiliti yang tidak adil kepada sesuatu golongan.
Sebaliknya, penghayatan ihsan yang sebenar menuntut pemberian yang memberi manfaat berpanjangan, seperti pembiayaan mikro patuh syariah, pembangunan kemahiran, dan sokongan kepada aktiviti produktif. Pendekatan ini boleh menyumbang kepada pengagihan semula ekonomi serta membantu proses penstrukturan semula ekonomi agar lebih adil dan inklusif. Dengan itu, birr dan ihsan berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang berteraskan kesejahteraan sosial.
### Keadilan pengagihan dan pencegahan risiko moral
Dalam pelaksanaan ekonomi berasaskan birr dan ihsan, isu risiko moral atau moral hazard perlu diberi perhatian. Bantuan yang tidak disertai mekanisme tadbir urus yang baik boleh menggalakkan sikap bergantung atau penyalahgunaan dana. Oleh itu, perlu diwujudkan kerangka undang-undang dan akta khusus bagi mengawal selia pengurusan infak, wakaf dan dana sosial Islam agar lebih telus dan berimpak tinggi.
Sejak kebelakangan ini, dada akhbar sering dipenuhi laporan sensasi berkaitan salah laku dan pecah amanah melibatkan pengurusan dana awam yang diamanahkan oleh masyarakat bagi tujuan kebajikan tertentu. Jika ditelusuri niat para penyumbang, sumbangan tersebut lazimnya dilakukan dengan harapan untuk menjana kebaikan berterusan pada masa hadapan serta meraih manfaat dunia dan akhirat. Namun begitu, para pemegang amanah berhadapan dengan tanggungjawab pengurusan yang kompleks, merangkumi pelbagai dimensi tadbir urus, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan kedudukan dengan mengambil kesempatan terhadap dana yang diamanahkan.
Justeru, sektor birr dan ihsan memerlukan suatu kerangka ekonomi yang komprehensif serta sistem tadbir urus yang kukuh. Kerangka ini perlu disokong oleh ekosistem yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemikir, ahli akademik dan pihak berautoriti agar potensi ekonomi berteraskan kebaikan dan kemurahan hati masyarakat dapat dimanfaatkan secara optimum, telus dan mampan.

Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh ialah Ketua Jabatan Syariah, Ekonomi dan Governan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
