Oleh Monika @ Munirah Abd Razzak
Menjelang bulan Ramadan, ramai umat Islam mula merancang ibadah, memperbanyak zikir dan menetapkan sasaran sedekah. Namun dalam keghairahan itu, masih ada segelintir yang dibelenggu rasa takut kehilangan harta, bimbang kehabisan simpanan dan cemas jika banyak memberi akan membawa kepada kemiskinan. Sikap ini dikenali sebagai bakhil, satu sifat tercela yang ditegur keras dalam Islam kerana ia bertentangan dengan asas iman dan keyakinan kepada Allah SWT sebagai Pemberi rezeki.
Al-Quran dengan jelas mendidik orang beriman agar membelanjakan harta dengan yakin dan berlapang dada. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 267: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah di jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik”. Ayat ini menegaskan bahawa Islam tidak mengajar umatnya memberi daripada lebihan yang tidak bernilai, tetapi daripada harta yang baik dan disayangi. Ketakutan untuk kehilangan harta sering menjadi penghalang seseorang daripada menunaikan tanggungjawab sosial, sedangkan harta itu sendiri adalah amanah Allah.
Dalam ayat seterusnya, Allah SWT membongkar punca ketakutan tersebut apabila berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 268: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut)”. Ketakutan kepada papa dan kecenderungan untuk bakhil sering berpunca daripada bisikan syaitan yang mahu manusia memutuskan hubungan dengan sedekah dan kebajikan. Ramadan sepatutnya menjadi medan melawan bisikan ini kerana pahala amal digandakan dan pintu rahmat dibuka seluas-luasnya.
Rasulullah SAW adalah teladan tertinggi dalam kemurahan hati. Baginda dikenali sebagai insan paling pemurah, dan sifat ini semakin terserlah apabila tiba bulan Ramadan. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW digambarkan sebagai lebih dermawan daripada angin yang berhembus kencang, khususnya pada bulan Ramadan ketika Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa kemurahan luar biasa ini lahir daripada keyakinan Baginda terhadap besarnya peluang pahala dalam Ramadan. Gambaran ini menegaskan bahawa Ramadan bukan masa menyimpan kerana takut kehilangan, tetapi masa memberi kerana yakin kepada janji Allah.
Dalam hadis sahih yang lain, Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap hari dua malaikat turun, satu mendoakan agar Allah memberi gantian kepada orang yang bersedekah, manakala satu lagi mendoakan kebinasaan bagi orang yang bakhil. Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim ini menggambarkan hakikat yang jarang disedari, iaitu orang bakhil sebenarnya sedang mendoakan kebinasaan untuk dirinya sendiri, manakala orang yang memberi berada dalam doa malaikat setiap hari.
Islam juga menenangkan jiwa orang beriman dengan jaminan bahawa sedekah tidak akan mengurangkan harta. Rasulullah SAW bersabda bahawa sedekah tidak mengurangkan harta, bahkan Allah akan menambahkannya dengan keberkatan. Hadis sahih riwayat Imam Muslim ini menegaskan bahawa kerugian sebenar bukan pada memberi, tetapi pada menahan harta hingga ia menjadi punca dosa dan kekerasan hati.
Namun perlu difahami bahawa ganjaran sedekah tidak sentiasa kelihatan secara segera. Pahala bukan seperti keuntungan perniagaan yang boleh dihitung atau emas yang boleh dipegang. Allah SWT menyamakan orang yang bersedekah dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai mengandungi seratus biji, menjadikan ganjaran itu 700 kali ganda sebagaimana dirujuk dalam surah al-Baqarah ayat 261. Ganjaran ini disembunyikan sebagai ujian keikhlasan, sama ada manusia lebih percaya kepada apa yang nampak di tangan atau kepada janji Allah yang tidak kelihatan tetapi jauh lebih besar nilainya.
Realiti hari ini menunjukkan ramai yang rajin menyimpan emas dan aset fizikal atas alasan menjaga ekonomi keluarga. Perancangan ini tidak salah, bahkan digalakkan. Namun yang membimbangkan ialah apabila simpanan itu menjadikan tangan berat untuk bersedekah dan hati takut menunaikan zakat. Ada yang mampu membeli emas sedikit demi sedikit, tetapi apabila diminta membantu orang susah, alasan yang timbul ialah belum cukup dan takut tidak berbaki. Di sinilah ujian iman yang sebenar, antara yakin kepada simpanan dunia atau yakin kepada jaminan Allah.
Ramadan mendidik umat Islam agar mengurangkan kebergantungan kepada harta dan menguatkan pergantungan kepada Allah. Puasa melatih kita menahan diri daripada yang halal, manakala sedekah melatih kita melepaskan apa yang kita sayang. Sikap pemurah bukan tanda kelemahan ekonomi, tetapi tanda kekuatan iman dan ketenangan jiwa.
Sebagai panduan praktikal, terdapat beberapa langkah ringkas untuk mengelakkan sikap bakhil dan takut papa. Pertama, betulkan niat bahawa sedekah adalah simpanan akhirat, bukan kerugian dunia. Kedua, biasakan memberi walaupun sedikit kerana Islam menilai keikhlasan dan istiqamah. Ketiga, yakin bahawa sedekah menghapus dosa dan menolak musibah. Keempat, jangan jadikan simpanan sebagai punca ketakutan hingga menghalang zakat dan kebajikan. Kelima, yakini bahawa rezeki datang daripada Allah, bukan semata-mata daripada emas, akaun bank atau pelaburan.
Justeru, jangan biarkan ketakutan kepada kemiskinan menghalang kita daripada menjadi Muslim yang murah hati. Ramadan adalah bulan terbaik untuk melatih hati agar lebih memberi dan lebih peduli. Semoga kita tergolong dalam hamba yang yakin kepada janji Allah, ringan tangan membantu sesama manusia dan hidup dalam keberkatan di dunia serta akhirat.

Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak ialah Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
