Oleh Nurhidayah Abdullah dan Nadhratul Wardah Salman
Pertumbuhan pesat ekonomi digital telah membawa kepada perubahan ketara dalam struktur pasaran buruh di Malaysia, khususnya melalui kemunculan dan perluasan pekerjaan gig. Model pekerjaan ini berkembang sejajar dengan peningkatan penggunaan platform digital berasaskan aplikasi, terutamanya dalam sektor p-hailing dan e-hailing. Sektor-sektor ini bukan sahaja menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pengguna, malah telah menjadi sumber pendapatan utama kepada ratusan ribu individu.
Menurut laporan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada tahun 2023, dianggarkan lebih daripada 1.12 juta rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi gig merangkumi penghantaran makanan, pengangkutan e-hailing, kerja bebas digital serta aktiviti pemasaran dalam talian. Perkembangan ini mencerminkan daya tarikan ekonomi gig sebagai alternatif kepada pekerjaan formal, khususnya dalam konteks kos sara hidup yang meningkat dan peluang pekerjaan konvensional yang semakin terhad. Justeru, penulisan ini akan menilai cabaran perlindungan undang-undang dan agenda advokasi awam pekerja gig di Malaysia.
Di sebalik fleksibiliti dan kebebasan yang ditawarkan, ekonomi gig turut menimbulkan pelbagai isu struktural yang signifikan, terutamanya berkaitan perlindungan undang-undang dan kebajikan sosial pekerja. Peralihan daripada pekerjaan tradisional kepada pekerjaan fleksibel tanpa hubungan majikan-pekerja yang jelas telah mewujudkan jurang perlindungan yang ketara.
Walaupun pekerja gig tidak tergolong sebagai pekerja biasa di bawah rangka undang-undang buruh sedia ada, klasifikasi tersebut tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan hak-hak asasi pekerjaan yang bersifat sejagat. Ini kerana pekerja gig sering berdepan dengan ketidakpastian pendapatan, ketiadaan jaminan gaji minimum, perlindungan keselamatan sosial yang terhad, serta ketiadaan saluran aduan dan penyelesaian pertikaian yang berkesan. Kesannya, pekerja gig terdedah kepada risiko eksploitasi, selain mewujudkan ketidakseimbangan kuasa yang ketara antara platform digital dan pekerja.
Dari sudut perundangan, definisi pekerja gig masih menjadi perdebatan dalam literatur akademik dan amalan undang-undang. Secara umum, pekerja gig sering diklasifikasikan sebagai kontraktor bebas dan bukannya pekerja, justeru mengecualikan mereka daripada perlindungan di bawah undang-undang buruh sedia ada.
Dalam konteks Malaysia, klasifikasi ini memberi implikasi besar terhadap akses kepada hak asas pekerjaan seperti perlindungan keselamatan sosial, faedah pekerjaan dan mekanisme penyelesaian pertikaian. Sektor p-hailing dan e-hailing sering dijadikan kajian kes bagi menggambarkan ciri hubungan kerja dalam platform digital, di mana kawalan algoritma, sistem penarafan dan penamatan akaun secara sepihak memperkukuh kedudukan dominan platform berbanding pekerja.
Seterusnya, pekerja gig juga berhadapan dengan isu perlindungan sosial yang tidak menyeluruh dan tidak mencukupi. Walaupun terdapat inisiatif seperti caruman sukarela kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), penyertaan yang rendah dan ketiadaan caruman mandatori daripada platform menghadkan keberkesanan perlindungan tersebut. Akibatnya, pekerja gig turut terdedah kepada risiko kemalangan, masalah kesihatan dan ketidakjaminan hari tua tanpa jaringan keselamatan sosial yang kukuh.
Selain itu, dari segi struktur upah, pendapatan pekerja gig lazimnya bergantung kepada permintaan pasaran dan sistem algoritma yang kurang telus, sekali gus mewujudkan ketidakpastian pendapatan serta ketiadaan jaminan gaji minimum. Di samping itu, mekanisme aduan dan penyelesaian pertikaian yang tersedia kepada pekerja gig adalah terhad dan bersifat sepihak, memandangkan kebanyakan platform bergantung kepada sistem dalaman yang dikawal sepenuhnya oleh pihak platform serta menawarkan ruang cabaran yang sangat terhad kepada pekerja. Secara keseluruhannya, keadaan ini memperkukuh kedudukan dominan platform digital dan melemahkan akses pekerja gig kepada perlindungan serta keadilan prosedural.
Menyedari cabaran-cabaran ini, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah awal melalui penggubalan Rang Undang-Undang Pekerja Gig (RUU) 2025 sebagai usaha untuk mengiktiraf kewujudan pekerja gig dalam rangka perundangan negara. RUU ini bertujuan mewujudkan prinsip asas perlindungan dan kebajikan pekerja gig, termasuk pengiktirafan status mereka serta tanggungjawab tertentu ke atas platform digital.
Namun demikian, analisis kritikal terhadap RUU tersebut menunjukkan beberapa kelemahan, khususnya dari segi penguatkuasaan, skop perlindungan yang terhad dan kekaburan peranan platform sebagai pihak yang mempunyai kawalan signifikan terhadap syarat kerja pekerja gig. Ketiadaan kewajipan yang tegas ke atas platform, termasuk dalam aspek caruman keselamatan sosial atau standard perlindungan minimum, berpotensi menjadikan perlindungan yang diperuntukkan bersifat deklaratif semata-mata.
Sebagai hala tuju masa hadapan, penggubalan undang-undang yang lebih komprehensif dilihat perlu bagi memastikan perlindungan pekerja gig sejajar dengan prinsip keadilan sosial dan hak asas pekerjaan. Penyelarasan dengan undang-undang buruh sedia ada serta pengiktirafan elemen hubungan pekerjaan substantif perlu diberi penekanan. Selain itu, penubuhan sebuah Suruhanjaya Pekerja Gig dicadangkan sebagai badan khusus yang bertanggungjawab terhadap kawal selia, penguatkuasaan, penyelesaian pertikaian serta advokasi awam berkaitan pekerja gig. Suruhanjaya ini berpotensi menjadi platform institusi yang menyelaras kepentingan kerajaan, platform dan pekerja secara lebih seimbang.
Kesimpulannya, perkembangan ekonomi gig di Malaysia menuntut pendekatan dasar buruh yang lebih progresif dan responsif. Perlindungan yang lestari kepada pekerja gig bukan sahaja penting untuk kesejahteraan individu, malah mempunyai implikasi besar terhadap keadilan sosial dan kestabilan pasaran buruh negara. Walaupun model pekerjaan ini menawarkan fleksibiliti dan peluang pendapatan alternatif, realiti hubungan kerja berasaskan platform digital telah mewujudkan jurang perlindungan yang ketara, khususnya dari segi keselamatan sosial, kepastian pendapatan dan akses kepada mekanisme keadilan yang berkesan.
Keadaan ini mencerminkan kegagalan rangka buruh sedia ada untuk menangani sifat hubungan kerja baharu yang bersifat tidak konvensional tetapi substantif. Oleh itu, tindakan bersepadu yang melibatkan kerajaan, platform digital dan masyarakat sivil adalah penting bagi memastikan ekosistem pekerjaan gig yang adil, inklusif dan mampan.


Profesor Madya Dr Nurhidayah binti Abdullah dan Profesor Madya Dr Nadhratul Wardah binti Salman merupakan Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya
