PUTRAJAYA, MALAYSIA 30 Januari 2026 – Kementerian Digital bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) terus memacu lonjakan ekonomi digital negara melalui Geran Pecutan Malaysia Digital (MDAG) dengan peruntukan sebanyak RM53 juta di bawah Belanjawan 2026.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menekankan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan perancangan digital bukan sekadar memacu inovasi, tetapi menjadi nadi kemakmuran ekonomi negara.
“Inilah komitmen Kerajaan MADANI memastikan setiap perancangan digital bukan sahaja memacu inovasi, malah menjadi nadi kepada kemakmuran ekonomi negara demi masa depan seluruh rakyat Malaysia,” kata Gobind.
Inisiatif ini menyokong sasaran ekonomi digital menyumbang 30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Sehingga kini, 47 syarikat teknologi telah menerima manfaat daripada MDAG, dengan 28 syarikat dalam sektor Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT), termasuk teknologi kreatif digital.
Antara kejayaan penerima geran sebelum ini ialah syarikat ternama seperti Carsome, Kiddocare, Daythree, Macrokiosk dan Insidea, yang telah berkembang pesat melalui sokongan ini.
Geran MDAG bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat berstatus Malaysia Digital yang berada di peringkat pengkomersilan dan pengembangan. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web rasmi MDEC.
