PUTRAJAYA, 30 Januari 2026 – Kerajaan hari ini menegaskan tiada kompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah melanggar undang-undang berkaitan salah guna kuasa dan rasuah, terutama di peringkat pengurusan tertinggi.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, beliau menyatakan bahawa perkhidmatan awam tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang melanggar lunas perundangan sekiranya didapati bersalah, berikutan isu-isu terkini yang melibatkan tangkapan dan siasatan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.
“Perkhidmatan Awam akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara kepada pihak yang sedang disiasat,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola adalah penting untuk dijunjung pada setiap masa, selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar Perkhidmatan Awam, bagi memastikan imej serta kredibiliti perkhidmatan awam tidak dicemari.
Perilaku sebegini, kata beliau, boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi teras negara, seperti yang sering ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras dengan aspirasi dibawah Kerajaan Malaysia MADANI,” tambahnya.
Kenyataan ini dilihat sebagai respons rasmi kerajaan terhadap isu-isu terkini yang membabitkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah di kalangan penjawat awam kanan, menunjukkan komitmen tegas untuk mengekalkan tadbir urus yang bersih dan berintegriti.
