HUTAN MELINTANG, PERAK, 25 Januari 2026 – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park di tapak QL Foods Sdn Bhd, Hutan Melintang, Bagan Datuk.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyifatkan projek ini sebagai langkah strategik QL Foods untuk melonjak daripada peneraju produk makanan berasaskan ikan seperti bebola ikan dan surimi, kepada pembangunan ekosistem makanan halal berteknologi tinggi.
Dalam kenyataannya di platform X, Ahmad Zahid menekankan bahawa QL Innofood Park akan membawa impak besar kepada keterjaminan makanan negara, pengukuhan industri halal serta pewujudan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Projek ini turut membuka peluang baharu kepada belia tempatan dalam bidang teknologi makanan, automasi, logistik rantai sejuk serta jaminan halal – selari dengan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keperluan industri masa depan.
Sebagai anak jati Bagan Datuk, beliau meluahkan rasa bangga melihat daerah itu berkembang daripada kekuatan tradisional dalam pertanian dan perikanan, kepada hab industri makanan halal berteknologi tinggi.
“Insya-Allah, dengan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan komuniti setempat, usaha seperti ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar yang lebih seimbang, mampan dan berorientasikan masa depan,” katanya.
Majlis pecah tanah tersebut diserikan dengan persembahan tarian singa dan dihadiri barisan kepimpinan tempatan serta wakil QL Foods. Ia melambangkan simbolik permulaan pembinaan taman industri yang dijangka meningkatkan ekonomi daerah Bagan Datuk.
